Friday, November 8, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima maut, termasuk kanak-kanak, dalam nahas jet perniagaan

    MESA, 7 NOV – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun antara lima mangsa yang terkorban dalam insiden nahas pesawat jet perniagaan kecil berhampiran sebuah lapangan terbang di pinggir bandar Phoenix, kata pihak berkuasa semalam.

    Pesawat jenis HondaJet HA-420 yang mempunyai enam tempat duduk itu dilaporkan dalam perjalanan ke Provo, Utah, sebelum membatalkan pelepasan di Lapangan Terbang Falcon Field, Mesa, petang kelmarin. Pesawat berkenaan merempuh pagar logam lapangan terbang dan bertembung dengan sebuah kenderaan yang sedang bergerak di jalan berhampiran, menurut kenyataan pihak berkuasa.

    Aviation International News melaporkan data menunjukkan HondaJet tersebut mencapai kelajuan lebih 153 batu sejam di landasan sepanjang 5,100 kaki sebelum bergerak sekitar 1,300 kaki dari penghujung landasan. Kelajuan pesawat menurun kepada sekitar 118 batu sejam di hujung landasan.

    Jurucakap Flightradar24, Ian Petchenik, yang memantau pergerakan trafik udara secara langsung, memaklumkan bahawa pesawat itu bergerak pada kelajuan 78.25 batu sejam pada kedudukan terakhir yang direkodkan sebelum nahas berlaku.

    Punca kegagalan pesawat untuk berlepas masih belum dapat dipastikan, dan siasatan kini dijalankan oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) dengan bantuan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) serta pihak berkuasa di Mesa. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda