RIO DE JANEIRO, 27 APRIL – Mahkamah Brazil hari ini memerintahkan penggantungan aplikasi pemesejan di seluruh negara, Telegram selepas syarikat induknya gagal memberikan data yang diminta pihak berkuasa mengenai neo-Nazi yang bero-perasi di rangkaian itu, kata pegawai.
Tindakan itu dibuat selepas beberapa serangan ganas di sekolah, sekurang-kurangnya satu daripadanya dikaitkan dengan pertukaran mengenai kumpulan yang mempunyai fahaman anti-Semitik.
Menteri Kehakiman, Flavio Dino berkata mahkamah telah mendenda Telegram satu juta reais (kira-kira AS$198,000) sehari kerana tidak mematuhi siasatan berterusan terhadap aktiviti neo-Nazi di rangkaian sosial, dan mengarahkan penggantungan sementara aktivitinya).
“Terdapat kumpulan yang dipanggil Barisan Anti-Semitik dan Pergerakan Anti-Semitik bertindak dalam rangkaian tersebut, dan kami tahu bahawa ini adalah punca keganasan terhadap anak-anak kami,” kata menteri itu dalam video yang dihantar kepada wartawan.
Awal bulan ini, seorang lelaki bersenjatakan kapak membunuh empat kanak-kanak berumur antara empat dan tujuh tahun di sekolah mereka, pada minggu yang sama dengan dua lagi serangan sekolah yang tidak membawa maut.
Bulan lalu, seorang budak lelaki berusia 13 tahun membunuh seorang guru dalam serangan pisau di sebuah sekolah di Sao Paulo. – AFP