Sunday, May 5, 2024
22.5 C
Brunei

    -

    Majlis tadarus diteruskan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Jawatankuasa Wanita Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) dengan sokongan padu ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB telah menjadi tuan rumah bagi Majlis Tadarus PGGMB yang berlangsung di Bangunan PGGMB di ibu negara, hari ini.

    Majlis merupakan kesinambungan kepada majlis tadarus yang bermula dengan majlis pembukaan pada hari kedua Ramadan yang dianjurkan oleh Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD).

    Pada majlis itu, Naib Yang Di-Pertua I MWNBD, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat mengetuai bacaan surah Al-Fatihah seterusnya bacaan Saiyyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai diikuti dengan bacaan juzuk ke-3 oleh wakil persatuan.

    Pengarah Wanita PGGMB selaku Pengerusi Bahagian Keagamaan MWNBD, Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Abu Bakar dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, aktiviti tadarus MWNBD telah membuka peluang kepada ahli persatuan mengisi masa Ramadan dengan pembacaan Al-Quran untuk meningkatkan mutu bacaan.

    “Di samping meraih keberkatan dan limpahan pahala yang berlipat ganda pada bulan mulia ini, ia juga bagi memupuk ukhuwah Islamiah semata-mata kerana Allah SWT,” jelasnya.

    Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam dan Pengiran Hajah Rakiah bersama ahli-ahli yang lain pada majlis berkenaan.

    Beliau seterusnya menyeru supaya aktiviti berkenaan akan terus dibudayakan oleh persatuan-persatuan demi mengembang luaskan lagi ilmu dan kemahiran dalam pembelajaran pembacaan Al-Quran.

    “Ini sesuai dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dengan memperbanyakkan rakyat dan penduduknya celik Al-Quran,” tambah beliau.

    Pada majlis berkenaan, Doa Selamat telah dibacakan oleh Hajah Halimah binti Mohd Ya’akub manakala itu, Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Hajah Jusnani binti Awang Taha.

    Hampir 80 orang ahli daripada 13 buah persatuan di bawah MWNBD menghadiri majlis berkenaan yang terdiri daripada Persatuan PERTIWI, WI, PGGMB, BISTARI, Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam, Persatuan Kebajikan Perempuan (PKP) Belait, BAKTI, Persatuan Siswazah Wanita, PERGANITA, BAKANITA, Persatuan Belia Lambak (PERBEKAL), PEWAJA dan Persatuan Nurul Islam.

    Majlis tadarus berkenaan antara lain bertujuan untuk meningkatkan kebolehan membaca Al-Quran dalam kalangan ahli persatuan dengan bertajwid serta fasih selain meningkatkan perpaduan dan menjalin hubungan silaturahim antara persatuan dah ahli-ahlinya.

    Ia juga salah satu peluang bagi kaum hawa secara berkumpulan ikut serta dalam menyahut hasrat negara untuk melihat penduduknya celik Al-Quran dalam merealisasikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...