Friday, May 3, 2024
24 C
Brunei

    -

    Majlis undi Penghulu Mukim Telisai diteruskan

    Oleh Ak Zaki Kasharan 

    TUTONG, 23 OKT – Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Telisai diteruskan lagi hari ini di Dewan Kemasyarakatan RPN Bukit Beruang menggunakan kaedah kertas undi.

    Dalam pada itu, Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Bukit Beruang dan RPN Bukit Beruang (Asal) dan Ketua Kampung RPN Bukit Beruang Kawasan 3 juga diadakan serentak di tempat yang sama.

    Pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK bagi kedua-dua majlis pengundian berkenaan telah bermula pada 21 Oktober lalu.

    Calon tunggal yang layak bagi mengisikan jawatan Penghulu Mukim Telisai ialah Haji Haslan bin Haji Shahbudin, 55, yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai hal ehwal masjid sebelum bersara.

    Calon tunggal yang layak bagi mengisikan jawatan Ketua Kampung Bukit Beruang dan RPN Bukit Beruang (Asal) pula ialah Awang Moksin bin Haji Moktar, 53, yang pada masa ini bertugas sebagai Imam Tingkat IV di Jabatan Hal Ehwal Masjid serta memangku jawatan Ketua Kampung Bukit Beruang dan RPN Bukit Beruang (Asal).

    Antara penduduk kampung yang turun mengundi kelmarin.

    Manakala itu, calon tunggal bagi mengisikan jawatan Ketua Kampung RPN Bukit Beruang Kawasan 3 ialah Awang Azman bin Haji Ismail, 49, yang juga merupakan Pemangku Ketua Kampung RPN Bukit Beruang Kawasan 3.

    Sejak 21 Oktober lalu sehingga hari ini, seramai 829 orang penduduk Mukim Telisai daripada seramai 1,011 orang yang berdaftar dan layak mengundi telah mengundi calon untuk mengisikan kekosongan jawatan Penghulu Mukim Telisai. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 773 undi telah bersetuju, manakala itu 42 undi tidak bersetuju dan 12 lagi dikategorikan sebagai undi rosak.

    Sementara itu, seramai 345 orang penduduk Kampung Bukit Beruang dan RPN Bukit Beruang (Asal) daripada seramai 395 orang yang berdaftar dan layak mengundi telah mengundi calon dengan 320 undi telah bersetuju, satu undi tidak bersetuju dan dua lagi dikategorikan sebagai undi rosak.

    Bagi calon Ketua Kampung RPN Bukit Beruang Kawasan 3, seramai 106 orang penduduk daripada seramai 117 orang yang berdaftar dan layak mengundi telah mengundi dengan 104 undi telah bersetuju, manakala itu tidak ada undi tidak bersetuju dan undi rosak.

    Keputusan pengundian akan dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...