Saturday, May 4, 2024
24 C
Brunei

    -

    Malaysia mahu Myanmar pulih, bincang isu repatriasi Rohingya

    PHNOM PENH, 24 FEB – Malaysia berpandangan Myanmar adalah sebuah negara jiran serta negara ASEAN yang dihargai, dan mahu melihat negara itu pulih seperti sedia kala dan mengikut Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ismail Sabri berkata Malaysia juga mahu Myanmar terus mencapai kemajuan demi kebaikan rakyatnya agar negara itu berada dalam keadaan aman, harmoni dan sejahtera.

    “Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC) adalah sangat penting. Ini merupakan hala tuju kita bersama dalam menangani situasi di Myanmar. Semua pihak seharusnya bersama-sama berusaha untuk melaksanakan ASEAN 5PC dengan berkesan dan menyeluruh.

    “Walaupun begitu, tanggungjawab utama dalam hal ini terletak kepada pemerintahan di Myanmar. Mereka juga adalah sebahagian daripada Konsensus ini,” kata perdana menteri pada sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techno Hun Sen selepas pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin itu di Peace Palace di sini hari ini.

    “Saya turut menggariskan pentingnya perkembangan positif dapat dilihat dalam menangani isu Rohingya. Saya berkongsi dengan Perdana Menteri Hun Sen cabaran yang dihadapi oleh negara-negara penerima pelarian termasuk Malaysia, disebabkan oleh kemasukan pelarian Rohingya dan lain-lain dari Myanmar,” tambah perdana menteri.

    Menurut Ismail Sabri, Malaysia akan terus menyokong usaha-usaha Kemboja sebagai Pengerusi ASEAN, serta Utusan Khas Pengerusi ASEAN berkenaan Myanmar dalam menangani situasi di Myanmar dengan berkesan.

    Katanya Hun Sen memahami cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh Malaysia dalam menempatkan secara sementara pelarian-pelarian tersebut.

    “Dalam hal ini, repatriasi pelarian-pelarian ini ke Myanmar secara selamat dan bermaruah perlu dilaksanakan,” katanya. – Bernama

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) semalam mengadakan sidang media pada akhir lawatan rasmi beliau ke Kemboja selama dua hari. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...