Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meja kopi santai daripada potongan kayu terbiar

    Oleh Amri HTZ –

    Bersantai menikmati secangkir teh atau kopi seusai pulang kerja boleh menyegarkan semula minda setelah penat bekerja.

    Sesetengah individu lebih suka mengasingkan diri di ruang sunyi dan ada pula gemar menikmati pemandangan kawasan rumah yang dipenuhi dengan tumbuhan.

    Bagi meletakkan hidangan sewaktu bersantai, meja khusus mudah alih untuknya diperlukan dan projek ini akan membawa awda menelusuri langkah pembuatannya.

    Antara barang diperlukan

    Potongan kayu
    Papan
    Pahat kayu
    Mesin router
    Gergaji rantai
    Resin epoksi
    Mesin gerudi
    Skru
    Kertas pasir
    Ketam kayu

    PILIH MATERIAL BERSESUAIAN

    Kayu yang akan digunakan merupakan potongan pokok yang rebah terbiar. Selain material yang boleh didapatkan secara percuma, ia juga bagi memanfaatkan kayu tersebut daripada rosak begitu sahaja. Diameter kayu untuk rekaan dalam projek ini lebih kurang 24 inci dengan ketebalan 4 inci. Tandakan ukuran diperlukan sebelum memotongnya menggunakan gergaji rantai. (Gambar 2)

    Setelah memotongkannya, buangkan kulit kayu pada bahagian luarannya menggunakan pahat kayu. Bagi awda yang inginkan keaslian dengan mengekalkan kulit luarannya, pastikan untuk memilih jenis kayu yang mampu mengekalkan kulitnya walaupun sudah terpotong atau mengering sepenuhnya. (Gambar 3)

    Gambar 1. – Gambar oleh Tiny Workshop
    Gambar 2. – Gambar oleh Tiny Workshop
    Gambar 3. – Gambar oleh Tiny Workshop
    Gambar 4. – Gambar oleh Tiny Workshop
    Gambar 5. – Gambar oleh Tiny Workshop
    Gambar 6. – Gambar oleh Tiny Workshop
    Gambar 7. – Gambar oleh Tiny Workshop
    Gambar 8. – Gambar oleh Tiny Workshop
    Gambar 9. – Gambar oleh Tiny Workshop
    Gambar 10. – Gambar oleh Tiny Workshop
    Gambar 11. – Gambar oleh Tiny Workshop
    Gambar 12. – Gambar oleh Tiny Workshop

    ELAK KAYU SEMAKIN TERBELAH

    Memandangkan kayu yang digunakan dalam keadaan tidak sempurna pada bahagian tengahnya, yang dianggap sebagai seni, kayu berbentuk bowtie akan tempatkan sebagai penahan bagi mengelakkan kayu merekah lebih teruk. Untuk itu, sekeping papan daripada kayu keras akan digunakan bagi mereka bowtie yang perlu dipotong ukurannya sesuai dengan ruang rekahan pada kayu. Mesin bandsaw atau jig boleh digunakan untuk memudahkan proses pemotongan. (Gambar 4)

    Bowtie yang telah dipotongkan kemudian akan diletakkan pada permukaan rekahan kayu bagi menandakan kedudukannya sebelum memulakan proses mereka ruang bagi membolehkannya dimasukkan. (Gambar 5)

    Dengan bowtie berketebalan 1 inci tersebut, kedalaman ruang yang diperlukan adalah lebih kurang ¾ inci. Lebihan kayu bowtie pada permukaan utama meja sengaja ditinggalkan bagi memastikan ketika meratakannya, kedudukannya akan selaras dengan permukaan utama tersebut. Bagi meratakannya, gunakan mesin router dengan jig khusus atau handheld planer. Kekalkan kedudukan bowtie menggunakan gam kayu. (Gambar 6)

    EPOKSI TUTUP RUANGAN MEREKAH

    Sebahagian ruangan rekahan pada rekaan akan ditutupi dengan resin epoksi bagi memastikan sebarang kotoran tidak memasukinya selain memudahkan langkah membersihkannya selepas digunakan.

    Resin epoksi dengan serbuk pewarna hitam akan dicampurkan dan dituangkan bagi menyelaraskannya dengan warna ira kayu yang terdapat pada rekaan. Sebelum itu, tutup bahagian bawah dan bahagian pinggir rekahan bagi mengelakkan resin epoksi yang dituangkan meleleh keluar. (Gambar 7)

    Biarkan resin epoksi mengering untuk beberapa hari (rujuk kepada arahan pengilang) sebelum meneruskan proses meratakannya selaras dengan permukaan kayu. Selain menggunakan mesin router untuk meratakannya, awda juga boleh menggunakan kertas pasir berukuran 80 grit. (Gambar 8)

    RANGKA SOKONGAN MEJA

    Selain penggunaan bowtie untuk menyekat kayu bagi mengelakkannya terus merekah, pada bahagian bawah rekaan akan ditempatkan dengan rangka besi berbentuk heksagon.

    Untuk itu plat besi berukuran 1 inci lebar dengan ketebalan 1/8 inci akan dipotong kepada enam bahagian dengan panjang 7 inci setiap satu. Ia kemudiannya dikimpal menjadi satu. (Gambar 9)

    Bagi menetapkan kedudukannya, sama seperti langkah menetapkan kedudukan bowtie, permukaan bawah kayu akan direka dengan alur untuk menjadikannya sama rata dengan permukaan kayu. (Gambar 10)

    Selain itu untuk kaki meja, hairpin besi akan digunakan memandangkan ia ringan dan mudah bagi ditetapkan. Sebelum itu, tandakan kedudukan di mana ia akan ditempatkan, kemudian tebuk untuk memudahkan insert nut dimasukkan. Menggunakannya akan memudahkan awda menetapkan, mengetatkan atau menanggalkannya jika perlu. (Gambar 11)

    Sebagai langkah terakhir, setelah menetapkan kesemua kaki meja dan rangka sokongan, keseluruhan permukaan kayu kini boleh disapukan dengan wood finish bersesuaian.

    Bagi mengekalkan keunikan ira kayu, memilih wood finish berwarna cerah merupakan langkah terbaik. Dengan rekaan yang telah siap tersebut, kini ia boleh diletakkan pada ruang bersesuaian untuk bersantai, selain menghiasinya. (Gambar 12)

    Tip rekaan

    Mereka rangka sokongan daripada besi merupakan pilihan. Awda juga boleh menggantikannya dengan kayu tetapi perlu mempunyai ketebalan sekurang-kurangnya ½ inci.

    Kaki meja dan rangka sokongan perlu dicat dengan warna hitam sebelum ia ditetapkan pada tempatnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda