Sunday, May 5, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    M’sia siap siaga hadapi gelombang Omicron

    PUTRAJAYA, 7 FEB – Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap siaga menghadapi gelombang Omicron berikutan peningkatan kes COVID-19 dengan mengaktifkan semula National COVID-19 Rapid Response Task Force (RRTF).

    Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata jawatankuasa khas itu akan melaksanakan tindakan pantas mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan.

    “Antaranya tindakan awalan pantas berkenaan adalah menambah dan mengubah suai katil bukan COVID-19, membina hospital medan dan penyumberluaran pesakit ke hospital swasta.

    “RRTF ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Asmayani Khalib yang akan membuat pelaporan terus kepada saya,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

    Selain itu, Khairy berkata KKM telah bersiap sedia dengan 120 hospital, sembilan hospital penuh COVID-19 dan 111 hospital hibrid serta 43 Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan kapasiti 10,810 buah katil setakat semalam.

    Selain itu, Khairy berkata semua klinik kesihatan bersedia menerima kedatangan pesakit yang tinggi susulan gelombang Omicron dengan 370 Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Klinik Kesihatan dan komuniti beroperasi bagi membuat penilaian pesakit positif COVID-19, setakat hari ini.

    CAC antaranya berfungsi mengenal pasti pesakit yang memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah, menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan dan menyelaras pesakit yang perlu dirujuk Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital. – Bernama

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media status terkini kes penularan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...