Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Najib mahu jalani penahanan di rumah

    KUALA LUMPUR, 5 APRIL – Bekas Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan, Najib Razak sedang berusaha untuk menjalani baki tempoh penjaranya dalam tahanan di rumah, dua bulan selepas hukumannya dalam kes rasuah dikurangkan separuh.

    Mengikut permohonan mengejutnya yang difailkan Isnin lalu, beliau mempunyai ‘maklumat jelas’ bahawa Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengeluarkan titah semasa mesyuarat lembaga pengampunan 29 Januari lalu, yang mengurangkan separuh hukuman penjara 12 tahun dan mengurangkan denda secara mendadak, membenarkan dia menamatkan hukumannya di rumah.

    Najib meminta mahkamah supaya kerajaan Malaysia mengesahkan dan melaksanakan perintah itu.

    Permohonannya sepatutnya didengar kelmarin tetapi ditangguhkan ke 17 April. Najib, 70, telah menjalani hukuman penjara kurang daripada dua tahun, sepatutnya berakhir pada 23 Ogos 2028, selepas hukumannya diringankan.

    Dia didapati bersalah dalam kes rasuah yang dikaitkan dengan dana negara 1MDB bernilai berbilion dolar.

    Dalam permohonannya, beliau menuduh lembaga pengampunan, menteri dalam negeri dan peguam negara antara tujuh entiti yang menyembunyikan titah sultan ‘dengan niat jahat’.

    Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail memberitahu pemberita pada Khamis lalu bahawa dia ‘tidak mengetahui’ akan perintah sedemikian, sambil menambah dia bukan ahli lembaga pengampunan.

    Orang lain yang dinamakan dalam permohonan Najib tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan. – AP

    Najib Razak tiba di kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diiringi pegawai penjara di Kuala Lumpur, Malaysia, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda