Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nama saya digugurkan sejak tahun lalu lagi – Adi Putra

    “Setiap kali dia (penerbit) keluarkan kenyataan mengenai filem Mat Kilau dan terbaharu mengenai prekuel filem, ramai peminat tanya adakah saya terbabit. Sedangkan nama saya sudah digugurkan sejak tahun lalu lagi.”

    Demikian kata pelakon terkenal, Datuk Adi Putra mengenai status dirinya dalam filem terbitan Studio Kembara itu, sekali gus menjawab persoalan dalam kalangan peminat.

    Adi berkata, penerbitnya, Abdul Rahman Mt Dali perlu bersikap telus dan profesional dalam menyatakan prekuel filem yang didakwa tidak ada kaitan langsung dengan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

    “Saya kasihan kerana peminat filem ini tertanya-tanya sambungan filem. Kalau ‘Google’ balik, dari tahun lepas dia (penerbit) sudah gugurkan nama saya dan Beto Kusyairy. Tamat riwayat di situ.

    “Berdasarkan kenyataannya pada 23 April lalu, dia cakap prekuel Mat Kilau boleh cecah box office biarpun tanpa pengarah Syamsul Yusof. Apa motif dia? Motif dia saja tahu.

    “Cuma saya tak nak dia kelirukan peminat. Kalau prekuel ini tidak membabitkan Mat Kilau, kena jelaskan. Bercakap perkara sebenar. Adalah salah memberikan harapan palsu.

    “Saya memang tak rasa apa, sebab sudah digugurkan. Cuma, apabila media cari saya dan cuba dapatkan kenyataan, saya pun tak tahu nak jawab macam mana.

    “Bila keluar dan jumpa peminat, mereka tanya lagi mengenai prekuel. Saya kasihan kepada peminat yang sokong filem Mat Kilau sampai box offfice,” katanya kepada Harian Metro.

    Sementara itu, menurut sumber Harian Metro, filem yang dikatakan prekuel itu berjudul Awang dan diarahkan oleh pengarah filem Geran, Areel Abu Bakar. – Agensi

    Nama Adi Putra sudah digugurkan sejak tahun lalu lagi dalam prekuel filem Mat Kilau. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda