Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nigeria denda Meta AS$220 juta atas pelanggaran data

    LAGOS, 21 JULAI – Nigeria mengenakan denda sebanyak AS$220 juta ke atas syarikat induk Facebook dan WhatsApp, Meta, atas pelanggaran data berulang kali.

    Suruhanjaya Persaingan Persekutuan dan Perlindungan Pengguna (FCCPC) negara itu pada Jumaat menuduh Meta melanggar undang-undang perlindungan data dan hak pengguna negara itu di Facebook dan WhatsApp.

    Ketua Pegawai Eksekutif FCCPC, Adamu Abdullahi berkata siasatan yang dijalankan bersama dengan Suruhanjaya Perlindungan Data Nigeria antara Mei 2021 dan Disember 2023 mendedahkan ‘amalan invasif terhadap subjek data atau pengguna di Nigeria’.

    Abdullahi menuduh Meta melakukan amalan diskriminasi, penyalahgunaan dominasi pasaran, berkongsi data peribadi rakyat Nigeria tanpa kebenaran dan menafikan rakyat Nigeria hak untuk menentukan bagaimana data mereka digunakan.

    Selain daripada denda yang besar itu, ketua FCCPC menegaskan bahawa Meta mesti mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan menghentikan eksploitasi pengguna Nigeria serta penyalahgunaan pasaran mereka.

    Jurucakap WhatsApp dalam satu kenyataan e-mel berkata, “Kami tidak bersetuju dengan keputusan ini serta denda dan kami sedang membuat rayuan terhadap keputusan tersebut”.

    Kira-kira tiga perempat daripada 200 juta penduduk di negara paling ramai penduduk di Afrika ini berumur di bawah 24 tahun, generasi yang paling banyak menggunakan media sosial.

    Negara itu mempunyai sekitar 164.3 juta langganan Internet setakat Mac, menurut angka yang diterbitkan di laman web Suruhanjaya Komunikasi Kebangsaan (NCC). – AFP

    Gambar menunjukkan logo rangkaian sosial Facebook dan Instagram pada skrin tablet dan telefon bimbit pada 5 Oktober 2020. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda