Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nissan-Honda teroka perkongsian strategik EV

    TOKYO, 15 MAC – Syarikat kereta gergasi Jepun Nissan dan Honda hari ini berkata mereka telah bersetuju untuk meneroka perkongsian strategik dalam kenderaan elektrik (EV) dan bidang lain.

    Penganalisis berkata langkah itu bertujuan mengejar pesaing China yang telah mendominasi terlebih dahulu dalam EV manakala syarikat Jepun telah kehilangan tempat dengan memberi lebih tumpuan kepada kenderaan hibrid.

    “Untuk mempercepatkan lagi usaha ke arah neutraliti karbon dan sifar kemalangan maut trafik, adalah penting untuk mengukuhkan teknologi alam sekitar dan elektrifikasi serta pembangunan perisian,” kata satu kenyataan bersama.

    “Kedua-dua buah syarikat itu telah mencapai persefahaman berdasarkan kepercayaan perlunya untuk menggabungkan kekuatan mereka dan meneroka kemungkinan kerjasama masa depan,” tambahnya.

    Skop kajian kemungkinan merangkumi platform perisian automotif, komponen teras yang berkaitan dengan EV, dan produk pelengkap, kata mereka.

    “Kami bukan sahaja bersaing dengan pembuat kereta tradisional, tetapi juga dengan pembuat kereta baharu. Jenama baru muncul ini dengan produk inovatif dan model perniagaan baharu sedang memasuki pasaran kereta dan cuba untuk mendapatkan penguasaan dengan memanfaatkan daya saing harga yang memberangsangkan dan kelajuan menakjubkan,” kata ketua eksekutif Nissan, Makoto Uchida, kepada pemberita.

    “Kita tidak boleh memenangi persaingan selagi kita berpegang kepada kebijaksanaan konvensional dan pendekatan tradisional,” katanya. Pengarah Honda, Toshihiro Mibe, berkata terdapat ‘transformasi sekali dalam 100 tahun industri automotif.’

    “Kriteria kajian kami ialah sama ada sinergi teknologi dan pengetahuan yang telah diusahakan oleh syarikat kami akan membolehkan kami menjadi peneraju industri dengan mencipta nilai baharu untuk industri automotif,” katanya. – AFP

    Makoto Uchida (kiri), dan Toshihiro Mibe menghadiri sidang media bersama di Tokyo pada 15 Mac 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda