Wednesday, May 22, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Malaysia sedia teroka kerjasama baharu bersama Arab Saudi

    KUALA LUMPUR, 30 APRIL – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan kesediaan Malaysia untuk bersama-sama dalam Visi 2030 Arab Saudi dengan meneroka ruang kerjasama baharu dengan negara itu terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen.

    Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengalu-alukan kehadiran pelabur-pelabur dari Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan dalam projek bernilai tinggi.

    Perkara tersebut dinyatakan ketika beliau menghadap Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman di Istana Yamamah di Riyadh sebelum berangkat pulang ke tanah air, selepas menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) sejak Sabtu lepas.

    “Perbincangan kami turut menyentuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara. 

    “Saya juga mengalu-alukan kehadiran pelabur-pelabur dari Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan dalam projek bernilai tinggi seperti ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI), tenaga bersih, pertahanan, elektrik dan elektronik serta aeroangkasa,” kata perdana menteri dalam hantaran di platform X, di sini hari ini.

    Anwar turut memaklumkan Malaysia sudah bersedia untuk mempengerusikan ASEAN tahun depan termasuk menganjurkan Sidang ASEAN-Teluk (GCC)-China. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman sebelum mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Arab Saudi. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia dan New Zealand hantar pesawat, keluarkan warga dari New Caledonia

    SYDNEY, 21 MEI - Kerajaan Australia dan New Zealand mengumumkan pada hari ini bahawa mereka menghantar pesawat untuk memindahkan rakyat mereka dari New Caledonia...