Wednesday, May 22, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Pengawal pantai China tembak meriam air ke arah kapal Filipina lagi

    MANILA, 1 MEI – Kapal pengawal pantai China melepaskan tembakan meriam air ke arah dua kapal peronda Filipina, kelmarin, berhampiran beting yang dipertikaikan di Laut China Selatan, merosakkan kedua-duanya dalam serangan terbaru dalam konflik wilayah yang semakin tegang.

    Tiada laporan segera mengenai kecederaan dalam insiden di Scarborough Shoal, satu daripada dua kawasan yang menjadi pertikaian hangat di mana konfrontasi antara China dan Filipina telah berlaku sejak tahun lepas.

    Sebuah kapal pengawal pantai Filipina dan sebuah kapal perikanan yang mengiringi sedang meronda di perairan Scarborough Shoal apabila empat kapal pengawal pantai China, disokong oleh enam kapal yang disyaki militia, melakukan gerakan menyekat berbahaya, kata jurucakap pengawal pantai Filipina Commodore Jay Tarriela.

    Sebuah kapal pengawal pantai China menggunakan meriam air terhadap kapal perikanan, BRP Bankaw, dan dua kapal pengawal pantai China yang lain melanggar kapal pengawal pantai Filipina, BRP Bagacay, secara serentak dari kedua-dua belah pihak, merosakkan sebahagian daripada pagar dek dan kanopinya, tambah Tarriela.

    “Kapal pengawal pantai dan militia maritim China mengganggu, menyekat dan merempuh kapal pengawal pantai Filipina dan Biro Perikanan dan Sumber Akuatik,” kata pasukan petugas kerajaan Filipina yang menangani pertikaian wilayah.

    Kapal perikanan Filipina mengalami kerosakan, termasuk sistem elektrik, navigasi dan radionya, kata pasukan petugas itu. Sejumlah wartawan yang dijemput untuk menyertai rondaan itu menyaksikan permusuhan itu, tambahnya.

    “Tingkah laku terbaru China yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab menonjolkan sikap tidak menghiraukan Filipina terhadap pelaksanaan hak dan kelayakannya yang sah di Zon Ekonomi Eksklusif kita sendiri,” kata pasukan petugas itu.

    Kapal Filipina meneruskan rondaan mereka walaupun pengawal pantai China bertindak, menurut pengawal pantai Filipina. “Mereka tidak dihalang dan akan terus menjalankan operasi sah mereka untuk menyokong nelayan Filipina dan memastikan keselamatan mereka,” tambahnya.

    China menyebut tindakannya kelmarinsebagai ‘langkah yang perlu’. “Filipina telah melanggar kedaulatan China dengan tindakannya,” kata Gan Yu, jurucakap pengawal pantai China. “Ia akan terus melakukan tindakan untuk mempertahankan haknya di perairan China mengikut undang-undang, dan akan dengan tegas menegakkan hak maritim negara kami”, tegasnya. – AP

    Kapal Pengawal Pantai Filipina, BRP BAGACAY (MRRV-4410) ditembak meriam air oleh Pengawal Pantai China ketika ia cuba mendekati perairan berhampiran Scarborough Shoal yang dikenali sebagai Bajo De Masinloc di Laut China Selatan, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India periksa syarikat rempah selepas dakwaan pencemaran

    MUMBAI, 21 MEI - Lembaga rempah kerajaan India telah melancarkan pemeriksaan kilang ke atas dua syarikat terkemuka susulan larangan daripada negara asing berikutan tuduhan...