Sunday, May 5, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Parlimen bubar, Malaysia masuki medan PRU15

    KUALA LUMPUR, 10 OKT – Parlimen Malaysia dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran itu di Bangunan Perdana Putra pada 3 petang hari ini, satu pengumuman yang dinanti-nantikan banyak pihak selepas desas-desus mengenainya bertiup kencang sejak akhir September. Ismail Sabri memaklumkan beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari semalam bagi menyembah warkah mengenai permohonan pem-bubaran parlimen ke-14.

    Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas sempena Pembubaran Parlimen ke-14 yang disiarkan secara langsung melalui saluran stesen televisyen tempatan dan menerusi Facebook Live Perdana Menteri.

    “Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

    “Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap,” kata beliau.

    Penjawat awam menyaksikan Perutusan Khas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena pembubaran parlimen menerusi televisyen semasa tinjauan. -Bernama

    Ismail Sabri berharap rakyat menggunakan kuasa yang ada untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.

    Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Perdana Menteri turut menasihati semua ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

    Tempoh mandat kerajaan sepatutnya berakhir pada Julai 2023.Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran parlimen.

    “Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,” kata Perdana Menteri.

    Penetapan tarikh hari penamaan dan hari mengundi serta urusan urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Sebanyak 222 kerusi Parlimen menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya umum kali ini untuk mendapatkan mandat mentadbir Malaysia yang mempunyai 32.4 juta penduduk. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...