Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelakon legenda Perancis Alain Delon meninggal dunia

    Alain Delon, pelakon dan pembuat filem Perancis yang terkenal di seluruh dunia dan seorang daripada bintang Eropah paling tersohor pada separuh kedua abad ke-20, meninggal dunia pada usia 88 tahun, lapor media Perancis baru-baru ini, menurut Sputnik.

    Setakat ini, belum ada maklumat lanjut mengenai kematian Delon.

    Delon menjadi masyhur di peringkat antarabangsa selepas penerbitan filem Purple Noon (1960), yang mana beliau memegang watak Tom Ripley, seorang pengembara yang menawan tetapi tidak bermoral.

    Pengkritik berkata pelakon itu berjaya menemui dan membawakan watak yang benar-benar sesuai dengan keperibadiannya sendiri – gabungan jiwa syaitan dan wajah malaikat.

    Delon juga terkenal dengan wataknya dalam filem-filem seperti Rocco and His Brothers (1960), L’Eclisse (1962), The Leopard (1963) dan banyak lagi.

    Sepanjang kerjaya lakonannya, beliau bukan sahaja menerima pelbagai anugerah – Anugerah Cesar untuk Pelakon Terbaik, Honorary Golden Bear dan lain-lain – tetapi juga digelar sebagai lelaki paling menarik di dunia.

    Pada 6 Mei 2017, pelakon itu mengumumkan penamatan kerjaya lakonannya. Dalam satu temu bual pada tahun 2021 dengan Paris Match, Delon menyatakan sokongan terhadap eutanasia, menyifatkannya sebagai ‘sesuatu yang paling logik dan semula jadi’. – Bernama

    Delon digelar sebagai lelaki paling menarik di dunia. – news.sky
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda