Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang bertemu raja dikasihi

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BELAIT, 30 JULAI – Kemeriahan suasana Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait, hari ini, menyaksikan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk hadir pada majlis berkenaan yang diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-78.

    Berkesempatan ditemui Media Permata, Awang Muhammad Muinuddin bersama rakan-rakannya yang datang seawal 8:30 pagi tadi antaranya mengongsikan perasaan gembira kerana berkesempatan bersemuka dengan Baginda Sultan dan kerabat diraja secara lebih dekat dan bersalaman.

    “Pastinya majlis ini merupakan acara yang ditunggu-tunggu saban tahun di mana ia bagaikan satu kemestian bagi saya dan rakan-rakan berkumpul bersama untuk menjunjung keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja khusus di daerah di mana kami menetap, Alhamdulillah!” ujarnya yang menetap di Kampung Panaga.

    Sebelum meneruskan perjalanan balik, kesemua mereka turut merafakkan sembah menjunjung kasih dan berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia kekal karar memerintah negara serta sentiasa sihat walafiat dan sejahtera agar dapat berterusan menerajui kepimpinan negara de-ngan penuh rahmat dan inayat.

    Salah seorang warga Kanada yang mengikut jejak suaminya yang bertugas di negara ini, Lia antaranya meluahkan detik mengagumkan ketika menyaksikan suasana orang awam bertemu dengan pemimpin negara dan kerabat diraja yang begitu bermakna bagi dirinya yang sukar dilihat di mana-mana negara.

    “Berada di sini pastinya apa yang saya dapat rasai betapa harmoninya Negara Brunei Darussalam dengan keunikan budaya yang begitu istimewa. Ini kali pertama saya menyertai majlis keramaian sebegini dan pastinya saya berharap akan berpeluang lagi untuk menghadirinya pada masa akan datang,” ucapnya dengan senyuman.

    Di akhir kata-katanya, Lia yang ditemani salah seorang rakannya turut tidak ketinggalan mengucapkan selamat ulang tahun hari keputeraan kehadapan majlis Baginda Sultan dengan iringan doa semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa aman dan makmur.

    Awang Muhammad Muinuddin bersama rakan-rakannya yang datang seawal pagi kelmarin mengongsikan perasaan gembira kerana berkesempatan bersemuka dengan Baginda Sultan dan kerabat diraja. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Lia semasa ditemui penulis bersama salah seorang rakannya pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda