Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembersihan runtuhan Gaza makan masa 15 tahun

    ISTANBUL, 16 JULAI – Pembersihan runtuhan bangunan  akibat serangan maut Israel ke atas Semenanjung Gaza akan mengambil masa kira-kira 15 tahun, kata Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) kelmarin.

    “Untuk membersihkan kira-kira 40 juta tan runtuhan perang di Gaza akan mengambil masa sehingga 15 tahun,” lapor Agensi Anadolu yang memetik UNRWA berdasarkan penilaian oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).

    UNRWA berkata pemindahan sisa perang di Gaza akan memerlukan lebih daripada 100 lori dan kos melebihi AS$500 juta.

    “Runtuhan menimbulkan ancaman maut kepada penduduk di Semenanjung Gaza kerana ia boleh mengandungi bahan letupan yang tidak meletup dan bahan berbahaya,” katanya.

    Anadolu melaporkan pada bulan lepas, Radio Tentera Israel yang memetik pegawai tentera berkata, kira-kira 50,000 bom telah dijatuhkan di Gaza oleh pesawat perang Israel sejak 7 Oktober lepas dan  menambah  antara 2,000 hingga 3,000 bom tidak meletup.

    Hampir 38,700 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sementara  lebih daripada 89,000 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

    Lebih sembilan bulan dalam serangan Israel, sebahagian besar Gaza tinggal dalam bentuk  runtuhan di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan. 

    Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang dalam keputusan terbaharunya mengarahkan Israel segera menghentikan operasi ketenteraannya di bandar selatan Rafah, di mana lebih daripada satu juta rakyat Palestin berlindung sebelum ia diserang pada 6 Mei. – Bernama 

    Seorang lelaki Palestin melihat khemah yang rosak di tapak pengeboman Israel di bandar Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza pada 14 Julai 2024. Pembersihan bangunan akibat kemusnahan akan ambil masa 15 tahun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda