Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Seramai 15 orang murid dari 10 buah sekolah di negara ini menerima hadiah dalam Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Peraduan Menulis Esei KACA sempena Ulang Tahun ke-35 KACA.
Penyampaian hadiah pada majlis yang berlangsung di Pusat KACA, Kampung Kiulap itu disempurnakan oleh Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin.
Peraduan kali kelima itu telah disertai oleh 20 buah sekolah yang antara lain bertujuan untuk memberi galakan kepada murid-murid Tahun 4 hingga 6 membuat esei mengikut topik yang disediakan oleh KACA.
Esei berkenaan adalah mengenai tatacara membantu murid yang berkeperluan khas di sekolah masing-masing supaya mereka prihatin akan keperluan seharian rakan mereka semasa berada di dalam kelas atau tempat bermain dan semasa sukan.
Peraduan akan diteruskan lagi pada 2022 dengan melibatkan lebih ramai murid sekolah rendah kerajaan dan swasta di peringkat kebangsaan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman selaku pengerusi majlis.