JOHANNESBURG – Zarza, seekor anjing terrier Staffordshire yang sangat disayangi, terpaksa dibawa ke hospital haiwan di Afrika Selatan kerana dipatuk oleh ular tedung Mozambique di hidungnya.
Racun yang berbisa daripada ular tersebut boleh menyebabkan otot pernafasan berhenti berfungsi, tetapi biasanya ia dapat dirawat dengan penawar.
Masalahnya, menurut doktor haiwan Afrika Selatan, mereka pada masa ini hampir tidak mempunyai botol penawar yang tinggal.
“Kami telah kehabisan serum penawar selama beberapa bulan sekarang,” kata doktor haiwan di Hospital Haiwan Valley Farm di Pretoria, Dean de Kock, tempat Zarza dirawat tetapi akhirnya mati.
Doktor haiwan dan pakar ular mengatakan kekurangan bekalan penawar itu menjadi serius menjelang akhir tahun lalu walaupun pihak berkuasa menafikan adanya masalah tersebut.
“Serum penawar patukan ular boleh didapati di negara ini,” kata Perkhidmatan Makmal Kesihatan Kebangsaan (NHLS), sebuah badan kerajaan yang bertanggungjawab dalam pengeluaran penawar, memberitahu AFP.
Pada bulan April, sekumpulan pakar rawatan patukan ular memohon kepada menteri kesihatan mengenai apa yang mereka gambarkan sebagai risiko kesihatan utama.
Walaupun masalah bekalan mungkin berkurangan di beberapa tempat, doktor haiwan mengatakan mereka menghadapi kesulitan.
Hospital yang merawat manusia diberi keutamaan apabila terdapat dos yang baharu, kata pakar herpetologi pakar dalam reptilia dan amfibia, Johan Marais, yang mengetuai Institut Gigitan Ular Afrika.
“Pada masa ini, jika awda seorang doktor haiwan, awda tidak boleh mendapatkan penawar,” kata Marais, 65.
Bercakap dari ibu pejabatnya di Pretoria, dia dengan santai memegang ular mamba hitam semasa perbualannya dengan AFP.
Dia berkata bahawa dia menerima sehingga beberapa panggilan sehari daripada doktor haiwan dan pemilik anjing yang terdesak mencari penawar.
“Jika anjing awda mengalami patukan ular yang serius hari ini, kemungkinan besar ia akan mati, ” kata Marais.
Alan Kloeck, dari Persatuan Veterinar Afrika Selatan, mengesahkan kenyataan Marais, menggambarkan kekurangan di seluruh negara dengan doktor haiwan tidak dapat mendapatkan penawar yang mereka perlukan.
Afrika Selatan merupakan rumah kepada kira-kira 160 spesies ular, kebanyakannya berbisa.
Pengeluar Vaksin Afrika Selatan, anak syarikat NHLS dan satu-satunya pembuat penawar di negara itu menghasilkan dua jenis penawar.
Satu serum anti bisa dapat digunakan untuk mengubati patukan dari 10 ekor ular termasuk ular tedung, puff adder dan mamba hijau, manakala satu lagi kejadian patukan ular boomslang namun ia jarang berlaku.
Menghasilkan antiserum adalah proses yang memakan masa dan melelahkan, kata Mike Perry dari African Reptiles and Venom, firma pengekstrakan racun di Centurion, di luar Johannesburg, yang menempatkan kira-kira sekitar 900 ekor ular dalam sangkar kaca kecil.
Beliau berkata pasukannya memaksa reptilia itu untuk mengeluarkan racunnya dengan memaksa haiwan itu menggigit sebuah botol kaca.
Sejumlah kecil toksin kemudiannya disuntik ke atas kuda, yang selepas beberapa waktu mengembangkan imuniti terhadap racun tersebut.
Plasmanya kemudian dikumpulkan dan diproses untuk membuat serum tersebut.
Tetapi proses tersebut memerlukan ia disimpan di peti sejuk secara berterusan, dan tunggakan pengeluaran telah dipersalahkan sebahagian besarnya disebabkan krisis tenaga Afrika Selatan, yang menyebabkan terputus bekalan kuasa berulang kali.
Pada bulan April, NHLS berkata ia memerlukan bekalan kuasa yang konsisten dan boleh dipercayai untuk menghasilkan antivenom.
Pertukaran berterusan kepada penjana semasa pemadaman mengganggu pengeluaran dan menjejaskan stok simpanan, katanya, memaksanya melabur dalam sistem kuasa sandaran dan tenaga boleh diperbaharui.
Bulan lalu, NHLS berkata ia telah meningkatkan pengeluar dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Sejak Januari, katanya, ia telah menghantar antivenom kepada lebih 230 buah institusi, termasuk hospital dan klinik veterinar, memenuhi semua pesanan selain tunggakan kecil yang mempengaruhi gudang di peringkat negeri.
Tetapi de Kock, yang amalan veterinarnya berada di wilayah berbeza, tidak menerima sebarang penghantaran sejak Disember. Untuk sementara waktu, mereka menggunakan dos yang telah tamat tempoh dari hospital lain, tetapi dos itu juga telah habis.
Sepanjang tiga bulan lalu, hospital telah merawat 25 ekor anjing kerana dipatuk ular.
Daripada 16 yang boleh mendapatkan antivenom yang telah tamat tempoh, hanya seekor yang tidak terselamat, manakala enam daripada sembilan yang tidak mendapat dos meninggal dunia. Zarza juga termasuk di antaranya yang mati pada Mei selepas berjuang menggunakan alat pernafasan selama dua hari.
“Ia sukar,” kata de Kock, 53. “Awda melakukan semua yang awda boleh tetapi perkara penting yang sebenarnya awda perlukan ialah antivenom, dan awda tidak memilikinya.”
Harapannya adalah bahawa musim sejuk di Australia, apabila ular kurang aktif, akan memberikan sedikit kelegaan. – AFP