Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk Jepun digesa elak pembelian panik

    TOKYO, 11 OGOS – Pihak berkuasa di Jepun menggesa orang ramai supaya mengelak daripada membuat pembelian panik ketika kebimbangan mengenai kemungkinan gempa mega mencetuskan lonjakan permintaan untuk kit bencana dan keperluan harian, kelmarin.

    Dalam nasihat pertamanya, agensi cuaca berkata, gempa bumi besar berkemungkinan besar susulan gempa 7.1 magnitud di selatan pada Khamis lalu yang menyebabkan 14 orang cedera.

    Di sebuah pasar raya Tokyo kelmarin, papan tanda telah dipasang memohon maaf kepada pelanggan atas kekurangan produk tertentu yang dikaitkan dengan “laporan media berkaitan gempa”.

    “Potensi sekatan-sekatan jualan sedang dijalankan,” menurut papan tanda itu, sambil menambah bahawa air botol sudah pun dicatu kerana perolehan “tidak stabil”.

    Pagi kelmarin, laman web gergasi e-dagang Jepun, Rakuten menunjukkan tandas mudah alih, makanan yang diawet dan air botol mendahului senarai barangan yang paling dicari.

    Seorang kakitangan bekerja ketika botol-botol air dengan tanda bertulis “air botol sedang dicatu, dengan had satu kotak (enam botol) bagi setiap pelanggan” (tengah) di sebuah pasar raya di daerah Sumida di Tokyo pada 10 Ogos. – AFP

    Di Tokyo, beberapa penduduk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

    Pekerja bar, Kokoro Takeuchi berkata dia telah memesan air botol dalam talian berikutan gegaran pada Khamis.

    “Saya sangat bimbang,” kata pekerja berusia 27 tahun itu kepada AFP.

    “Bar tempat saya bekerja berada di bawah tanah jadi jika gempa berlaku secara tiba-tiba, ada kemungkinan besar kami mungkin tidak dapat melarikan diri. Jadi saya telah cuba memikirkan cara terbaik untuk berpindah,” katanya.

    Tetapi yang lain lebih pasrah kepada ketidakpastian gempa mega.

    “Sudah tentu saya bimbang, tetapi terlalu memikirkannya tidak akan membawa awda ke mana-mana,” pekerja syarikat Mika Nakagawa, 34, memberitahu AFP.

    “Jika ia berlaku, maka itu sahaja,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda