Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penerbangan disambung semula selepas gangguan siber global

    PARIS, 21 JULAI – Penerbangan secara beransur-ansur disambung semula kelmarin selepas syarikat penerbangan, bank dan media global terjejas berikutan salah satu gangguan IT terbesar dalam beberapa tahun, berpunca daripada pengemaskinian program antivirus.

    Orang ramai berkumpul di lapangan terbang pada Jumaat apabila puluhan penerbangan dibatalkan selepas kemas kini pada program yang beroperasi di Microsoft Windows menyebabkan sistem di seluruh dunia tergendala.

    Kelmarin, pegawai berkata keadaan telah hampir kembali normal di lapangan terbang di seluruh Jerman dan Perancis, ketika Paris bersiap sedia menyambut jutaan orang untuk acara Sukan Olimpik yang akan bermula pada Jumaat.

    Beberapa syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) dan lapangan terbang di seluruh Asia berkata mereka telah menyambung semula operasi, dengan perkhidmatan daftar masuk dipulihkan di Hong Kong, Korea Selatan dan Thailand dan hampir kembali pulih di India, Indonesia dan di Lapangan Terbang Changi, Singapura setakat petang kelmarin.

    Microsoft menganggarkan kelmarin bahawa 8.5 juta peranti Windows terjejas dalam gangguan IT global ini, menambah bahawa jumlah tersebut adalah kurang satu peratus daripada semua peranti Windows.

    “Sementara jumlah peratusannya kecil, kesan ekonomi dan sosial yang luas mencerminkan penggunaan CrowdStrike oleh perusahaan yang menjalankan kebanyakan perkhidmatan kritikal,” kata syarikat itu.

    Microsoft berkata masalah itu bermula pada 1900 GMT pada Khamis, yang menjejaskan pengguna Windows yang menjalankan perisian keselamatan siber CrowdStrike Falcon.

    Dalam satu hantaran blog kelmarin, CrowdStrike berkata ia telah mengeluarkan kemas kini pada malam Khamis yang menyebabkan kerosakan sistem dan mesej ralat ‘skrin biru kritikal.’

    CrowdStrike berkata ia telah mengemukakan jalan penyelesaian untuk masalah itu dan ketua syarikat itu, George Kurtz, memberitahu saluran berita AS CNBC bahawa beliau ingin “memohon maaf secara peribadi kepada setiap organisasi, setiap kumpulan dan setiap individu yang telah terjejas”. – AFP

    Seorang juruteknik melihat paparan maklumat berhampiran pintu masuk United Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago O’Hare pada 19 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda