Monday, November 11, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peng Soon kembali ke pangkuan BAM

    KUALA LUMPUR, 7 DIS – Sehari selepas membuat keputusan ‘berpisah’ dengan Goh Liu Ying, pemain beregu campuran negara Chan Peng Soon (gambar) mengesahkan beliau kembali menyertai skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (BAM).

    Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata setelah berbincang dengan teliti, pihaknya sepakat untuk menyerap pemain berusia 33 tahun itu dengan objektif memperkukuh beregu campuran serta melaksanakan peranan pembimbing kepada skuad remaja negara.

    Mohamad Norza berkata Peng Soon yang meninggalkan BAM pada 2018, akan melaporkan diri pada 1 Januari tahun depan.

    “Kami gembira dapat mengambil pemain yang ada banyak pengalaman dan kelayakan ke dalam pasukan.

    “Dalam permohonannya, beliau menyatakan hasrat untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan menyatakan tekadnya memainkan peranan sebagai mentor kepada pemain remaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Justeru, Mohamad Norza berharap Peng Soon dapat berkongsi pengalaman berharga dimilikinya dengan barisan pemain muda dan yakin kualiti yang dimiliki pemain itu mampu melengkapkan keperluan pemain muda di akademi berkenaan.

    Pada Dis 2018, gandingan Peng Soon dengan Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai pemain kebangsaan.

    Sementara itu, Peng Soon berkata beliau berasa janggal apabila tidak lagi bergandingan dengan Liu Ying, setelah 13 tahun mengharungi naik turun dalam sukan badminton.

    “Ia satu perkara yang menyedihkan untuk berpisah dengan Liu Ying dan saya sedang membiasakan diri kerana sudah 13 tahun bergandingan dengannya dalam gelanggang,” katanya kepada Bernama.

    Keputusan untuk berpisah itu datang selepas prestasi merosot di Tokyo 2020 menyaksikan pasangan negara itu tersingkir awal, serta faktor kepenatan menjadi isu utama perpisahan gandingan itu.

    Ditanya mengenai pengalaman manis sepanjang bergandingan dengan Liu Ying, Peng Soon berkata memenangi pingat perak Sukan Olimpik di Rio merupakan kenangan paling indah yang tidak akan dilupakan. – Bernama 

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda