Thursday, November 14, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penjilidan buku secara manual kian popular

    TOKYO – Semakin ramai orang memberi nafas baharu kepada buku-buku lama dan rosak, sama ada dengan menghubungi pakar pembaikan profesional atau melakukannya sendiri.

    Sesetengah peminat juga membuat reka bentuk dan menjilid buku tebal mereka sendiri.

    Apabila e-buku terus berkembang pesat, buku kertas sedang dinilai semula, di mana ramai peminat memetik teksturnya yang menyenangkan.

    Pada awal Oktober, Nobuo Okano, 78, kelihatan sedang membaiki tulang belakang buku lama yang diterbitkan sekitar 1970an di Bookbinding Studio Livre di Bunkyo Ward, Tokyo.

    Studio, yang diuruskan oleh Okano, telah ditubuhkan pada tahun 1980 bagi membaiki serta menjilid buku atas permintaan. Bilangan permintaan untuk pembaikan telah meningkat sejak beberapa tahun lalu dan studio itu kini mengendalikan kira-kira 40 hingga 50 buku setiap tahun.

    Okano membaiki buku lama di Bookbinding Studio Livre di Wad Bunkyo, Tokyo. – THE YOMIURI SHIMBUN

    Namun demikian, disebabkan kerja tertunggak, pada masa ini ia perlu mengambil masa lebih daripada dua tahun sebelum pembaikan boleh dijalankan.

    Tahun lepas, Susumu Ueda, 71, dari Kobe, meminta studio itu membaiki penjilidan sebuah buku petikan. Buku tersebut yang dibeli oleh Ueda ketika berusia 20an, telah rosak selama bertahun-tahun.

    Seorang penterjemah berkemahiran, Ueda, juga mempunyai kamus Inggeris-Jepun kegemarannya yang telah diperbaiki beberapa kali oleh studio itu.

    “Saya mahu menyimpan buku-buku saya yang tidak boleh diganti dalam masa terdekat,” katanya.

    Orang ramai meminta studio itu memperbaiki buku mereka atas pelbagai sebab. Ada yang membawa masuk buku bergambar lama yang dibacakan kepada mereka semasa kecil untuk diperbaiki agar boleh dibaca oleh anak mereka sendiri. Seorang pelanggan meminta studio itu membuat semula penjilidan karya lengkap pengarang kegemaran mereka dalam apa jua cara yang digemari mereka.

    “Ramai orang mengekalkan tekstur buku kertas dan penampilannya apabila dipaparkan di rak buku,” kata Okano. “Bagi mereka, untuk membaca sebuah buku adalah tidak mencukupi.”

    Kos pembaikan adalah berbeza-beza, bergantung pada perkara seperti sama ada bahan dan reka bentuk asal disalin atau dibaik pulih. Harga berkisar antara sekitar ¥7,000 hingga ¥20,000 bagi setiap buku, jelas Okano.

    Terdapat juga kelas yang mengajar teknik menjilid buku. Marumizu-gumi, bengkel penjilidan buku secara langsung di Wad Itabashi, Tokyo, menawarkan kursus sedemikian.

    Kira-kira 120 orang yang terdiri daripada pelajar universiti hingga mereka yang berumur 80an telah menghadiri kelas tersebut setiap bulan.

    Kelas mengajar pelbagai teknik, termasuk kaedah penjilidan buku gaya Jepun yang melibatkan menjahit halaman bertindan bersama-sama dengan benang, teknik ‘rounding’ gaya Barat untuk mengukuh tulang belakang buku berkulit keras dengan lengkungan, dan membuat slipcase bagi pemegang buku.

    “Menjilid buku dengan tangan kini lebih dikenali secara meluas berbanding lebih 10 tahun lalu semasa kami menubuhkan bengkel,” kata Nao Inoue, 50, ketua bengkel.

    Seorang wanita dalam lingkungan 60an yang telah menghadiri kursus asas di mana pelajar belajar tentang teknik penjilidan buku dalam tempoh satu hingga dua tahun berkata, “Saya pernah membuat buku mini, kemudian mula berminat dengan penjilidan buku untuk menggabungkan minat saya menjadi satu.

    “Saya suka menumpukan seluruh perhatian kepada penjilidan buku.” – ANN/The Japan News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda