Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perjanjian minyak sawit raih lebih RM230 juta

    KUALA LUMPUR, 15 JULAI – Malaysia berjaya meraih lebih RM230 juta dalam perjanjian perdagangan minyak sawit semasa lawatan kerja Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin ke China baru-baru ini.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata lawatan Chan dari 8 hingga 12 Julai untuk mempromosikan agrikomoditi Malaysia di China telah menghasilkan empat memorandum persefahaman (MoU).

    “Empat MoU berkenaan ditandatangani di antara syarikat-syarikat minyak sawit Malaysia dan perniagaan di China pada Sidang Kemuncak Industri Bijirin dan Minyak Antarabangsa China ke-15 di Nanjing pada 11 Julai lalu,” katanya.

    KPK berkata empat MoU yang ditandatangani adalah di antara Kuala Lumpur Kepong Bhd dan BOCE Trade Service Co Ltd untuk eksport tokotrienol; Taobao (China) Software Co Ltd dan Able Perfect Group untuk memperluaskan akses pasaran digital; Taobao (China) Software Co Ltd dan Sawit Kinabalu Group untuk perdagangan minyak sawit mentah; dan JF Nutritech dan Palmort Food Tech (Shanghai) untuk aplikasi minyak sawit merah dalam makanan haiwan.

    Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Chan bersama Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Presiden Dewan Perniagaan China untuk Import/Eksport Bahan Makanan, Hasil Asli, dan Produk Sampingan Haiwan (CFNA), Cao De Rong.

    Timbalan menteri tersebut berkata Able Perfect, sebuah kilang penapisan minyak sawit bebas yang berpangkalan di Pelabuhan Klang berhasrat untuk memperluaskan kehadirannya di pasaran China, terutama dalam minyak sawit yang ditapis dan lelemak minyak sawit, dengan nilai perniagaan dianggarkan sekitar RM200 juta melalui perjanjian perdagangan itu. – Bernama

    Datuk Chan Foong Hin ketika sesi soal jawab Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen pada 26 Jun lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda