Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perpustakaan di Temburong kini berkonsepkan permata hijau

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Dalam usaha untuk memupuk minat membaca dan mencintai buku, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Daerah Temburong kini dibuka semula dengan reka bentuk dalaman baharu berkonsepkan permata hijau yang menjadi calak Daerah Temburong serta rekaan ruang bacaan berupa taman bagi gedung ilmu pengetahuan.

    Majlis Perasmian Pembukaan Semula Perpustakaan DBP Daerah Temburong yang berlangsung di Perpustakaan DBP Daerah Temburong dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan majlis pelancaran Perpustakaan DBP Daerah Temburong.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin, serta ketua-ketua jabatan di bawah KKBS dan di Daerah Temburong.

    Menurut Pemangku Ketua Bahagian Perpustakaan, Awang Mohd Yadey Hazabillah bin Haji Mohd Zain, Perpustakaan DBP Daerah Temburong mula menjalankan perkhidmatannya kepada orang ramai pada tahun 1975, di bangunan kedai Pekan Bangar.

    Perkhidmatannya kemudian berpindah sementara ke seberang Sungai Bangar Baru pada awal tahun 1978. Setelah beroperasi lebih kurang selama 11 tahun di sana, Perpustakaan DBP Daerah Temburong berpindah lagi ke Kompleks Kedai Bumiputera Temburong, dan akhirnya berpindah ke bangunan sekarang yang dirasmikan pada 22 Julai 1993.

    Yang Berhormat Hajah Safiah ketika menyampaikan ucapan perasmiannya di Majlis Perasmian Pembukaan Semula Perpustakaan DBP Daerah Temburong.

    Ia memberikan gambaran yang jelas bahawa keperluan perpustakaan untuk bertransformasi adalah sangat perlu agar perpustakaan akan kekal relevan mengikut trend semasa dan kemajuan-kemajuan terkini seperti perkembangan teknologi, ekonomi, infrastruktur dan sebagainya.

    Seiring dengan perubahan zaman, begitu juga dengan keperluan Perpustakaan DBP untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada komuniti dan penduduk setempat.

    Pembukaan semula Perpustakaan DBP Daerah Temburong itu telah mentransformasikan persekitaran lama perpustakaan kepada suasana baharu yang menyediakan ruang bacaan yang lebih fleksibel, kondusif dan mesra pengguna menurut konsep permata hijau yang mencalakkan Daerah Temburong dengan rekaan dalamannya yang mengambarkan sebuah taman.

    Antara matlamat pembukaan semula perpustakaan tersebut ialah agar dapat memberikan keselesaan kepada pengguna dan pengunjungnya, bertepatan dengan cita rasa masyarakat pada masa ini.

    Di samping menawarkan suasana harmoni dan keserasian, seperti perkhidmatan Perpustakaan DBP di daerah-daerah lain, Perpustakaan DBP Daerah Temburong itu juga dapat dijadikan sebagai satu tempat bagi mendukung pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan kreativiti dan inovasi serta percambahan fikiran melalui jalinan kerjasama dan kolaborasi dengan pihak setempat.

    Dengan adanya kemudahan tempat berkumpul dan perkongsian, pengguna akan memperoleh ilmu pengetahuan yang baharu dan penghayatan terhadap budaya serta warisan negara yang menyatupadukan masyarakat dan komuniti.

    Selain mengekalkan kerelevanan perpustakaan dalam menyediakan perkhidmatannya sebagai hab mendapatkan ilmu dan maklumat, persekitaran baharu itu juga akan dapat menarik lebih ramai pengguna perpustakaan melalui penyediaan kemudahan dan teknologi
    terkini.

    Pembukaan tersebut turut berpotensi untuk menarik pengunjung baharu dan seterusnya menjadi pengguna yang berulang dan kerap.

    Menurut kenyataan DBP, Perpustakaan DBP Daerah Temburong mula ditutup pada 4 November 2023 bagi kerja-kerja menaik taraf dan mengubah suai bangunan perpustakaan tersebut.

    Setakat ini, Perpustakaan DBP Daerah Temburong memiliki koleksi buku seperti karya am, falsafah, agama, sains kemasyarakatan, bahasa, sains, teknologi, kesenian, kesusasteraan, geografi dan sejarah am.

    Majlis seumpamanya diharap dapat membuka mata masyarakat agar perpustakaan tidak hanya dilihat sebagai tempat penyimpanan buku tetapi sebagai tempat pencarian ilmu dan ruang berkumpul untuk mencari maklumat secara santai di samping dapat memberi informasi yang bermanfaat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda