Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persembahan Pentarama berakhir di Temburong

    TEMBURONG, 30 JULAI – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Komunikasi Strategik dan Cawangan-cawangan Penerangan Daerah-daerah meneruskan lagi Persembahan Pentarama Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-75, bertempat di Pentas Perayaan, Kawasan Dermaga, Pekan Bangar, Daerah Temburong.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim. Turut hadir ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu selaku penghulu Mukim Bokok dan kelima-lima Mukim Daerah Temburong, Pemangku Pengarah Penerangan, Haji Shahrul Jeffri bin Dato Paduka Haji Ibrahim, selaku penasihat Persembahan Pentarama 2021 dan Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastera Sarini binti Haji Julaini.

    Persembahan pada malam itu dimulakan dengan lagu tema ‘Pentarama’ oleh barisan artis yang menjayakan pentarama kali ini. Segmen persembahan Pentarama termasuk nyanyian solo daripada artis-artis tanah air iaitu Pengiran Shahminan, Atikah Thane, Jazmeen dan Fatin Muzini serta kumpulan Tausyeh ‘Serikandi Seni’. Para penonton Pentarama juga berpeluang untuk menyertai Kuiz Pentarama. Penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

    Tahun ini, Pentarama lebih memfokuskan mengenai kesedaran tentang COVID-19 seperti Program Vaksinasi Kebangsaan yang sedang giat dilaksanakan selain menyeru orang ramai supaya terus mematuhi SOP dan nasihat Kementerian Kesihatan semasa pandemik COVID-19 yang disampaikan melalui persembahan sketsa drama bertajuk ‘COVID Oh COVID’ oleh Kumpulan Putera Seni dan juga melalui persembahan lawak jenaka oleh Najib dan Loh daripada kumpulan BruHaha.

    Daerah Temburong adalah detinasi terakhir persembahan PENTARAMA yang bermula di Daerah Tutong, diikuti di Daerah Brunei Muara dan Daerah Belait.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda