Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertandingan serlah bakat, kreativiti cosplay

    NAGOYA, JEPUN – Ia memerlukan dedikasi yang tinggi, persediaan berjam-jam dan juga masa menjahit: berpakaian sebagai watak Jepun mungkin bukan sukan Olimpik, tetapi peserta-peserta berkenaan sudah pun mencatat prestasi terbaik dalam persaingan.

    Pasukan dari 36 negara dan wilayah bertanding di tengah Jepun pada Sabtu lalu, setelah mencipta semula pakaian dengan corak terperinci, gaya rambut berwarna-warni dan watak yang penting bagi bintang anime, manga dan permainan video pilihan mereka.

    Kejohanan itu adalah sebahagian daripada Sidang Kemuncak Cosplay Dunia di Nagoya, acara tiga hari yang menarik ribuan peminat – ramai yang berminat untuk mempamerkan kostum mereka sendiri.

    “Orang ramai amat komited terhadap pertandingan cosplay,” kata Lettie Shiels dari Britain, yang memenangi pertandingan tahun lalu dengan rakan sepasukannya, Claudia Maw.

    “Kami bukan hanya bercakap tentang hujung minggu dan malam – saya mungkin tidur kira-kira empat jam selama beberapa bulan,” beritahunya kepada AFP.

    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Holly Churchill dari pasukan Britain dan Jasmine Churchill mengambil bahagian dalam latihan sebelum kejohanan cosplay dunia 2024. – AFP
    Irina Tsapreva (L) dari Bulgaria menolong ahli pasukannya membuat persiapan. – AFP

    Pasangan itu, yang menggunakan nama pentas Tsupo dan Clood, bertemu dalam lingkungan cosplay sejak sedekad lalu dan telah melihat hobi mereka berubah daripada subkultur DIY yang berwarna-warni kepada fenomena global.

    Mempertingkat kemahiran yang dipelajari sendiri daripada seni solekan kepada prostetik, pembuatan pakaian dan reka bentuk prop adalah bahagian penting dalam cosplay, gabungan perkataan costume dan play.

    Di Nagoya, peserta dinilai berdasarkan ketepatan dan kualiti pakaian mereka.

    “Mereka amat serius mengenai nilai-nilai tersebut. Awda mempunyai gambar rujukan dan segala-galanya mesti sama. Jika ada apa-apa yang tiada, awda akan kehilangan mata,” jelas Shiels.

    Kemudian mereka mesti mempersembahkan skit selama dua setengah minit dalam watak, di mana bekas juara Tsupo dan Clood telah dijemput kembali ke Jepun untuk mengadili pertandingan.

    “Saya mahu merasakan suasana penuh penghayatan. Saya mahu merasakan mereka menyukai bahan asal,” yang akan terserlah dalam koreografi, lakonan dan kesan visual, kata Shiels.

    Mengharungi cuaca panas dan kelembapan pada musim panas, ramai peminat cosplay Jepun dan antarabangsa memenuhi pusat bandar untuk acara tahunan itu, yang pertama kali diadakan pada 2003.

    Watak-watak dari komik manga terkenal seperti Naruto dan Slam Dunk bergambar bersama watak lain dalam kostum penuh, termasuk wira mekanikal dari Gundam.

    Terdapat beberapa peraturan asas, antaranya luka berdarah dan lebam dilarang, begitu juga kostum yang terlalu mencolok mata atau pakaian dalam, serta sebarang pakaian seragam kehidupan sebenar.

    Di belakang tabir sebelum persembahan, pasukan kebangsaan menghadapi tekanan, setiap satu terdiri daripada dua peserta, yang telah membawa semua peralatan mereka dalam penerbangan antarabangsa.

    Setiap pasukan dipilih pada peringkat kebangsaan, sama dengan Eurovision, dan tahun ini peserta cosplay telah datang dari negara-negara termasuk Perancis, Afrika Selatan, India, Mongolia dan Thailand.

    Di salah satu bilik persalinan bersama, Irina Tsapreva dari Bulgaria, berpakaian sebagai watak dari Mononoke, sedang sibuk memasang telinga runcing yang kelihatan realistik pada rakannya.

    “Saya suka banyak perkara tentang cosplay. Pertama sekali, saya sentiasa menggemari karnival dan berdandan, jadi ini seperti percutian untuk saya,” kata Tsapreva.

    Dia memiliki ijazah sarjana dalam reka bentuk kostum teater, yang membantu apabila menyulam kostumnya dengan sutera dan mencipta segala-galanya dari asas, termasuk memasang kasut kayu tradisional Jepun.

    Namun ramai peserta lain mempunyai pekerjaan harian yang berbeza-beza, daripada guru tadika kepada pekerja inovasi penjagaan kesihatan.

    Cosplay bermula sebagai hobi tetapi menjadi lebih serius bagi Henrik Pilerud, yang telah mencipta makhluk ‘Totoro’ yang besar dan tersenyum dengan mata yang bergerak dari filem Studio Ghibli klasik 1988 My Neighbor Totoro.

    “Kami memilihnya kerana ia disukai dan amat ikonik,” kata warga Sweden itu.

    Walaupun ia tidak selesa dalam kostum berbulu, ‘orang ramai tersenyum dan gembira,’ jadi ‘awda lupa segala kepanasan dan hanya tersenyum di dalam juga’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda