Saturday, May 4, 2024
25.1 C
Brunei

    -

    Petik buah zaitun di tengah bedilan bom

    HASBAYA – Petani Ghassan Hassan dan pekerja buruhnya bekerja tanpa henti untuk menuai buah zaitun di ladang berhampiran sempadan selatan Lubnan, tanpa rasa takut walaupun diselubunyi bedilan bom Israel dan bunyi bising kapal terbang di udara.

    Menuai buah zaitun merupakan sumber pendapatan utama penduduk kampung, tetapi tahun ini musimnya telah menyaksikan serangan balas antara tentera Israel dan Hezbollah yang disokong oleh Iran, ketika perang Israel-Hamas masih berterusan di Gaza.

    “Pesawat sentiasa terbang pada siang dan malam semasa kami bekerja, membuatkan pekerja berasa cemas. Kadang-kadang mereka terlalu takut sehingga meninggalkan tempat kerja,” kata Hassan, berusia dalam lingkungan 50an, yang sedang memetik zaitun hijau dan ungu berhampiran bandar Hasbaya.

    “Tahun ini tidak seperti tahun sebelumnya,” tambahnya.

    Semasa dia bercakap, salah seorang pekerjanya menerima berita bahawa kampungnya telah dibom.

    Petani Mona al-Shaar menuai buah zaitun berhampiran bandar Hasbaya di selatan Lubnan. – AFP
    Pekerja Syria mengumpulkan buah zaitun yang baru dituai. – AFP
    Gambar AFP
    Ladang zaitun berhampiran bandar Hasbaya. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Dia berhenti bekerja, kemudian tergesa-gesa menelefon saudara mara dengan tangan yang menggeletar sebelum mendengar mereka semua selamat, menarik nafas lega lalu dia kembali bekerja.

    Sejak pejuang Hamas menyerang sempadan Gaza pada 7 Oktober tahun lepas, 1,400 orang terkorban, kemudian pesawat pejuang Israel telah mengebom wilayah Palestin, membunuh lebih 8,500 dalam keganasan yang turut mencetuskan gelombang kekacauan di sepanjang sempadan Israel-Lubnan.

    Setakat ini, sekurang-kurangnya 63 orang terbunuh di Lubnan menurut pengiraan AFP, kebanyakannya pejuang tetapi juga lima orang awam.

    Sementara itu, lapan orang telah terbunuh di Israel, antaranya tentera dan orang awam.

    Serangan balas yang semakin meningkat membuatkan aktiviti memetik buah zaitun di kawasan sempadan menjadi amat berbahaya.

    Namun, walaupun ada tembakan dari pesawat penggempur dan bunyi bising tanpa henti, petani berkenaan tetap datang ke ladang mereka.

    MENGORBANKAN NYAWA

    Petani Lubnan kebanyakannya bergantung kepada buruh asing dari Syria semasa musim menuai, tetapi ramai yang tinggal di kawasan berhampiran sempadan telah melarikan diri, kata Hassan.

    “Ia menjadi sukar bagi kami untuk mencari pekerja,” katanya kepada AFP.

    Setakat ini, ribuan orang telah melarikan diri dari selatan disebabkan ketegangan sempadan dengan hampir 29,000 orang yang terpaksa berpindah di seluruh Lubnan, menurut angka dari Organisasi Migrasi Antarabangsa PBB.

    Serangan Israel juga telah menyebabkan kebun zaitun dan tanaman sayur lain hangus terbakar, dengan Menteri Pertanian, Abbas Al Hajj Hassan menuduh Israel melakukan serangan fosforus putih, mengatakan bahan pembakar itu telah membakar 40,000 pokok zaitun.

    Kumpulan hak asasi manusia dan pegawai-pegawai Lubnan telah berkali-kali menuduh Israel menggunakan fosforus putih yang terbakar apabila bersentuhan dengan udara dan boleh menyebabkan kebakaran serius, tuduhan yang sebelum ini telah dinafikan oleh Israel.

    Petani Hussein Shaheen, berusia 70an, adalah salah seorang pemetik buah zaitun di luar Hasbaya semasa letupan terdengar dari jauh.

    Namun dia dengan pekerjanya jelas dengan apa yang perlu dilakukan, mereka mesti membungkus zaitun dan sedia untuk diangkut supaya mereka boleh bergerak dengan cepat sekiranya pengeboman meletus.

    Di kawasan sempadan Hasbaya dan Marjayoun, keluarga dan pekerja buruh berada di ladang-ladang zaitun, ada yang berehat di bawah teduh atau memanjat pokok untuk memetik buah.

    “Orang ramai mempertaruhkan nyawa mereka kerana buah zaitun adalah sumber pendapatan utama mereka,” kata Shaheen.

    “Apabila bom jatuh, mereka pulang ke rumah hanya untuk kembali keesokan harinya,” katanya.

    HASIL KELUARAN BAGAIKAN ANAK AWDA

    Kawasan Hasbaya memiliki kira-kira satu juta setengah pokok zaitun, menurut Rasheed Zuwaihed dari koperasi zaitun tempatan.

    “Sama ada pengeboman atau tidak, orang ramai tiada pilihan selain keluar ke ladang,” kata pesara guru berusia 73 tahun itu yang memiliki mesin pemerah zaitun.

    “Mereka sudah tentu mengambil risiko, tetapi mereka terpaksa berbuat demikian untuk terus hidup,” katanya.

    Di ladang berhampiran, keluarga Shaar sedang memetik buah zaitun bersama-sama.

    “Kami tidak takut, tetapi bunyi bising kapal terbang… membuatkan saraf kami terganggu,” kata Mona Shaar, 54 tahun, tersenyum sambil mengumpulkan zaitun dalam apronnya.

    Beberapa ahli keluarganya melapisi tanah dengan kain plastik untuk menangkap buah sementara yang lain bergilir memukul dahan dengan sebatang kayu untuk memetik buah.

    Bekerja berdekatan, sepupu Mona, Adnan mengatakan dia sudah biasa dengan bunyi letupan, yang kini menjadi kejadian biasa di kawasan tersebut.

    “Saya kenal orang yang tidak dapat menuai kerana mereka lebih dekat dengan sempadan dan dibedil bom,” katanya kepada AFP.

    “Mereka meninggalkan kerja mereka, tanah mereka… Ia susah,” katanya.

    “Penuaian awda bagaikan anak awda, menjaganya seperti yang awda lakukan untuk anak sendiri.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...