Thursday, October 24, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis cari budak lelaki hilang, dipercayai dibunuh

    DUBLIN, 23 OKT – Polis Ireland hari ini menjalankan pencarian di sebuah hartanah di pantai timur negara itu bagi mencari seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai telah dibunuh sejak dua tahun lalu.

    Kyran Durnin kali terakhir dilihat di sebuah sekolah rendah di Dundalk, kira-kira 53 batu di utara ibu negara, Dublin, pada akhir tahun persekolahan pada 2022. Ketika itu, dia berusia enam tahun.

    Polis kelmarin mengubah siasatan orang hilang kepada siasatan pembunuhan, mengatakan bahawa mereka kini percaya bahawa Kyran hilang dan dipercayai telah mati.

    Minggu lalu, pegawai polis menyatakan bahawa mereka tidak dapat menemui kanak-kanak itu, mengenal pasti sebarang maklumat tentang keberadaannya sekarang atau bukti bahawa dia masih hidup.

    Siasatan itu melibatkan kerjasama rapat dengan agensi termasuk agensi perlindungan kanak-kanak Ireland, Tusla, yang melaporkan kehilangan Kyran pada Ogos.

    Ganbar Freepik

    Tusla juga menyatakan bahawa mereka sebelum ini memaklumkan kepada polis tentang kebajikan Kyran.

    “Kami boleh mengesahkan bahawa walaupun Kyran tidak berada dalam jagaan Tusla, perkhidmatan kami telah berurusan dengan nya dan keluarganya,” kata agensi kerajaan itu dalam satu kenyataan kelmarin.

    “Pada Ogos 2024, kami memaklumkan kepada polis Ireland berhubung kebimbangan besar mengenai Kyran.”

    Hartanah di Dundalk, yang merupakan rumah keluarga kanak-kanak itu sehingga Mei 2024, sedang menjalani pemeriksaan teknikal dan forensik, termasuk taman dan kawasan berdekatan, kata polis.

    Penghuni hartanah itu tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan kanak-kanak itu, menurut polis.

    Polis juga berkata mereka telah mengenal pasti keberadaan ibu Kyran, yang juga dilaporkan hilang pada Ogos, di UK.

    “Ini adalah kes yang mengejutkan dan membimbangkan. Bagaimana seorang kanak-kanak pada 2024 boleh hilang dari keluarga dan komunitinya selama dua tahun?” kata Tanya Ward, ketua kumpulan Perikatan Hak Kanak-kanak. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda