Sunday, May 5, 2024
29 C
Brunei

    -

    Praktikkan budaya keselamatan di tempat kerja

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Persekitaran kerja yang selamat dan sihat adalah ke-perluan serta hak asasi setiap pekerja yang mana jika pekerja-pekerja sebuah organisasi yang dilengkapi dengan perkara itu, pasti akan membuahkan hasil dari segi kesejahteraan, membawa kepada produktiviti yang lebih tinggi, peningkatan tahap kemajuan kerja dan kualiti hidup keseluruhan yang lebih baik untuk pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR), Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar dalam ucapan penutup pada Majlis Penyampaian Sijil dan Penutup Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2023 (MKK 2023), JKR, yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat JKR, hari ini.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir Awang Norazmi bin Othman, ketua-ketua jabatan dan divisyen, penceramah-penceramah undangan, pegawai-pegawai khas, pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan, peserta-peserta taklimat dan para jemputan.

    Dalam ucapannya lagi, Haji Shaharuddin Khairul menyatakan harapan JKR supaya pihak kontraktor melantik dan mendaftarkan pegawai keselamatan atau penyelaras keselamatan dengan pihak SHENA bagi membantu dalam pelaksanaan keselamatan dan kesihatan di tapak-tapak projek.

    Di samping itu, beliau menekankan perihal pentingnya untuk mereka sentiasa mengamalkan budaya keselamatan di tempat kerja dengan melibatkan diri dalam latihan keselamatan, mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan dan melaporkan sebarang risiko atau keadaan yang tidak selamat adalah langkah penting dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua.

    Haji Shaharuddin Khairul menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil penaja semasa MKK 2023 pada majlis yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat JKR, kelmarin.
    Antara yang hadir pada majlis penutup MKK 2023, kelmarin.

    “Saya juga ingin menyeru kepada semua untuk melaporkan sebarang keadaan yang berpotensi membahayakan keselamatan kepada autoriti yang relevan,” tekannya.
    Beliau turut menasihatkan para peserta untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam segala aktiviti yang dilakukan di tempat kerja demi menjaga keselamatan diri dan keselamatan orang di sekeliling.

    Harapan beliau, ujarnya, dengan pengisian maklumat daripada sesi-sesi taklimat itu, para peserta dapat mempraktikkan budaya keselamatan di tempat kerja masing-masing.

    JKR juga menyeru semua pihak, baik daripada pihak kontraktor ataupun mana-mana penjawat awam untuk dapat mematuhi perintah dan peraturan yang berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta sama-sama membudayakan cara kerja yang sihat dan selamat.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja dan syarikat-syarikat yang hadir menyertai pameran sepanjang MKK 2023 oleh Haji Shaharuddin Khairul.

    Sebanyak 19 penaja yang terdiri daripada syarikat-syarikat swasta dan 15 penyertaan pameran termasuk syarikat-syarikat dan agensi swasta serta jabatan-jabatan di bawah JKR, Kementerian Pembangunan telah turut serta dalam sama-sama menjayakan MKK 2023.

    Kira-kira 130 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan dan wakil-wakil kontraktor telah pun hadir dan seramai 13 orang penceramah jemputan memberikan taklimat dan berkongsi-sama maklumat, inisiatif serta kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...