Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Nigeria gesa henti ‘pertumpahan darah’

    ABUJA, 4 OGOS – Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu meminta agar protes di seluruh negara ditangguhkan dan ‘pertumpahan darah’ dihentikan hari ini selepas pasukan keselamatan menangani perhimpunan berhubung kesukaran ekonomi.

    Beribu-ribu orang mengadakan protes di jalan raya minggu lalu untuk membantah dasar kerajaan dan kos sara hidup yang tinggi.

    Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International menuduh pasukan keselamatan membunuh sekurang-kurangnya 13 penunjuk perasaan pada hari pertama protes pada Khamis, manakala polis berkata tujuh orang telah meninggal dunia dan menafikan bertanggungjawab.

    Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Tinubu menggesa penunjuk perasaan ‘untuk menangguhkan sebarang protes selanjutnya dan mewujudkan ruang untuk berdialog’, komen awam pertamanya sejak protes bermula.

    “Saya telah mendengar awda dengan kuat dan jelas. Saya memahami kesakitan dan kekecewaan yang mendorong protes ini, dan saya ingin memberikan jaminan bahawa kerajaan kita komited untuk mendengar dan menangani kebimbangan rakyat kita,” katanya.

    “Tetapi kita tidak boleh membiarkan keganasan dan kemusnahan memecahbelahkan negara kita. Kita mesti hentikan sebarang pertumpahan darah lagi,” tambahnya.

    Tinubu menyalahkan penganjur kerana gagal mencegah kekacauan, dan menggunakan ucapan itu untuk mempertahankan rekodnya dan menggariskan langkah-langkah yang katanya akan memberikan manfaat kepada golongan muda Nigeria dan ekonomi. – AFP

    Orang ramai membantah krisis kos sara hidup terburuk negara itu di Lagos, Nigeria pada 1 Ogos lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda