Saturday, May 4, 2024
25.1 C
Brunei

    -

    Program Erasmus+ fokus rangkuman sosial, peralihan hijau dan digital

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Kira-kira 120 orang peserta telah menghadiri Brunei Info Day for Erasmus+ anjuran Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengajian Tinggi secara fizikal manakala 50 orang peserta hadir secara maya yang diadakan di Dewan Kuliah, Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan selaku Erasmus+ National Focal Point (ENFP) Brunei, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee.

    Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh tetamu kehormat, diikuti sesi perkongsian oleh pengurus program daripada delegasi Kesatuan Eropah ke Negara Brunei Darussalam serta pakar-pakar dari Suruhanjaya Eropah dan ENFP.

    Antara topik yang dibentangkan adalah gambaran keseluruhan program Erasmus+, mobiliti kredit antarabangsa (ICM), perkongsian pengalaman dengan Erasmus+ ISM oleh alumni serta Program Biasiswa Jean Monnet.

    Brunei Info Day for Erasmus+ merupakan program Kesatuan Eropah bertujuan untuk menyokong pendidikan, latihan, belia dan sukan di Eropah. Program bagi tahun 2021-2027 memberikan tumpuan penting kepada rangkuman sosial, peralihan hijau dan digital, dan menggalakkan penyertaan golongan muda dalam kehidupan demokratik.

    Selain itu, ia juga menyokong keutamaan dan aktiviti yang ditetapkan dalam Kawasan Pendidikan Eropah, Pelan Tindakan Pendidikan Digital dan Agenda Kemahiran Eropah.

    Objektif acara ini adalah untuk berkongsi maklumat tentang program Ersamus+ dan menggalakkan mobiliti pembelajaran, kerjasama, kualiti, keterangkuman, ekuiti, kecemerlangan, kreativiti dan inovasi dalam bidang pendidikan dan latihan.

    Turut hadir ialah dekan, pensyarah dan pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB) serta ketua pegawai eksekutif dan pengetua institusi-institusi swasta.

    Hajah Anis Faudzulani semasa menghadiri program tersebut di Dewan Kuliah, UTB. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara peserta yang hadir pada acara tersebut.- GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...