Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program tingkat kesedaran, cegah jenayah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Sebanyak 14 buah sekolah terdiri dari sekolah Arab dan sekolah agama (sesi pagi) dan sebanyak 147 buah sekolah agama (sesi petang) telah menyertai Program Keagamaan Senegara (PKS) bagi sekolah-sekolah Arab dan agama yang diadakan secara serentak di seluruh negara secara dalam talian, hari ini.

    Majlis yang diselajurkan dengan Program Kesedaran Pencegahan Jenayah dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang diadakan di Surau Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Masna, Kawasan Brunei I dan dibahagikan kepada dua sesi.
    Hadir selaku tetamu khas bagi sesi pagi ialah Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Haslinah Susanti binti Haji Mohd Hassan.

    Manakala hadir selaku tetamu kehormat bagi sesi petang ialah Penolong Pegawai Pemerintah Operasi Daerah Polis Brunei Muara, Timbalan Penguasa Polis Pengiran Khairul Hakimin bin Pengiran Haji Kamaludin.

    Program tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan bacaan Surah Taha dan Selawat Tafrijiyyah.

    Program juga diisikan dengan taklimat Program Kesedaran Pencegahan Jenayah disampaikan oleh Pemangku Ketua Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak dari Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB, Timbalan Penguasa Polis, Hajah Nur Amni Alyani binti Haji Abdul Rahman bagi kedua-dua sesi pagi dan petang.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Antara tujuan taklimat diadakan ialah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang jenis-jenis jenayah dan langkah-langkah pencegahannya agar dapat melindungi diri, keluarga dan harta benda mereka serta bagi mempertingkatkan hubungan antara masyarakat, sekolah dengan pihak polis.

    Selesai taklimat, majlis diteruskan dengan lawatan ke pameran mini.

    Timbalan Penguasa Polis Pengiran Khairul Hakimin, hadir selaku tetamu kehormat. – GAMBAR SERAHAN JPI
    DSP Hajah Nur Amni Alyani semasa menyampaikan taklimat. – GAMBAR SERAHAN JPI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda