Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Protes di Perancis terhadap pelantikan PM baharu

    MOSCOW, 8 SEPT – Ribuan orang turun ke jalanan di seluruh Perancis, kelmarin, atas gesaan parti sayap kiri untuk membantah pelantikan sayap kanan Michel Barnier sebagai perdana menteri baharu, lapor Sputnik.

    Parti sayap kiri Perancis dalam pakatan New Popular Front, yang memperoleh kerusi terbanyak dalam pilihan raya parlimen terkini, menyeru rakyat mengadakan protes di seluruh negara selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron enggan melantik calon mereka, Lucie Castets, sebagai ketua kerajaan. Parti sayap kiri terbesar blok itu, France Unbowed sebelum ini mengumumkan bahawa sekurang-kurangnya 138 demonstrasi akan diadakan di bandar Perancis yang berbeza.

    Kira-kira 2,000 penunjuk perasaan berkumpul di bandar barat Perancis, La Rochelle, manakala kira-kira 300 orang berjalan keluar dalam demonstrasi di bandar jiran Saintes, lapor penyiar radio France Bleu. Satu lagi demonstrasi dijadualkan pada jam 1 petang di bandar Angouleme.

    Kira-kira 600 orang menyertai protes di jabatan barat Dordogne, manakala antara 300 dan 400 orang membantah di luar bangunan wilayah di bandar barat daya Pau, kata France Bleu. Kira-kira 600 orang berkumpul berhampiran bangunan wilayah itu di bandar barat laut Le Mans.

    “Saya terkejut dengan penolakan terhadap demokrasi ini, penolakan terhadap suara pengundi. Kumpulan kiri mendahului tetapi individu yang paling berhaluan kanan pula dilantik sebagai perdana menteri,” kata seorang daripada penunjuk perasaan di Le Mans kepada stesen radio itu.

    Protes itu juga melanda pulau Corse iaitu kira-kira 100 orang berkumpul di bandar terbesarnya Ajaccio untuk berhimpun menentang Macron, kata penyiar itu.

    Pada Khamis, Barnier, 73, dilantik oleh Macron ke jawatan tertinggi dalam Kabinet Perancis 60 hari selepas pilihan raya parlimen awal negara itu.

    Barnier adalah ahli politik Perancis tertua memegang jawatan itu, menggantikan Gabriel Attal yang berusia 35 tahun, yang merupakan perdana menteri termuda yang dilantik. Keputusan pilihan raya Perancis menyebabkan negara itu berhadapan dengan parlimen tergantung, tanpa parti yang memegang majoriti.

    New Popular Front, perikatan luas yang merangkumi France Unbowed, Sosialis, Greens dan Komunis, meraih kemenangan dalam pusingan kedua, merampas 182 kerusi di Dewan Negara. Gabungan Macron berada di tempat kedua dengan 168 kerusi, manakala parti sayap kanan National Rally memenangi 143 kerusi. – Bernama

    Seorang penunjuk perasaan memegang sepanduk menentang Perdana Menteri Perancis yang baharu dilantik, Michel Barnier semasa perhimpunan di Place de la Bastille, di Paris pada 7 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda