Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puluhan anggota BGP Myanmar dihalang masuk ke Bangladesh

    TEKNAF, BANGLADESH, 17 JULAI – Bangladesh menyekat puluhan anggota keselamatan Myanmar daripada melintasi ke wilayahnya untuk melarikan diri daripada serangan pasukan pemberontak, kata seorang pegawai kerajaan tempatan berhampiran sempadan sungai mereka, kelmarin.

    Pertempuran telah menggegarkan kawasan barat Myanmar sejak Tentera Arakan (AA) menyerang pasukan keselamatan pada November, menamatkan gencatan senjata sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.

    Ratusan tentera Myanmar telah mendapatkan perlindungan di India dan Bangladesh sejak itu, biasanya tinggal selama beberapa hari atau minggu sebelum dihantar pulang melalui penerbangan yang diatur oleh junta.

    Bagaimanapun, pada Ahad, sekurang-kurangnya 66 anggota Polis Pengawal Sempadan Myanmar (BGP) telah dihantar pulang serta-merta semasa cuba melintasi Sungai Naf ke Bangladesh.

    “Anggota BGP cuba memasuki Teknaf dengan dua bot. Pengawal pantai menghalang kemasukan mereka,” kata Mujibur Rahman, seorang kaunselor di bandar sempadan tenggara Bangladesh, Teknaf.

    Tiada komen segera daripada pengawal pantai Bangladesh atau wakil junta Myanmar.

    Seorang wartawan yang berpangkalan di Teknaf yang mengambil gambar bot tersebut berkata, kapal-kapal itu hampir ke sebuah jeti di bandar tersebut tetapi ditolak kembali ke arah Myanmar pada waktu malam. – AFP

    Anggota keselamatan Bangladesh berusaha mengusir pengawal sempadan Myanmar yang mencari perlindungan di Bangladesh, merentasi sungai Naf pada 14 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda