APIA, 24 OKT – Raja Charles III dari Britain mengenakan pakaian tradisional Samoa semasa menghadiri upacara menyambut kedatangan Baginda dan Permaisuri Camilla ke negara pulau itu untuk lawatan negara, lapor agensi berita PA Media.
Raja Charles menukar sutnya dengan jaket putih berlengan pendek berwarna putih dan seluar yang direka sendiri ketika baginda diberi penghormatan dengan gelaran baharu.
Ketua negara Samoa dan penduduk kampung memberi penghormatan tertinggi kepada pasangan diraja itu dengan mengadakan upacara ava, yang disediakan oleh anak perempuan negarawan itu daripada serbuk akar ava, mewakili perpaduan masyarakat, dipersembahkan kepada baginda.
Upacara itu diadakan di Universiti Nasional Samoa, di sebuah falesamoa, sebuah dewan besar berbumbung terbuka yang diperbuat daripada kayu besar dan dikawal oleh sekumpulan ‘malosi ole nuu,’ orator memakai pakaian tradisional, memegang tongkat sebagai simbol jawatan mereka serta memakai sarung dan kalungan bunga.
Mengikut adat, Raja Charles menuangkan beberapa titis ava sebelum meminum dari cawan yang diperbuat daripada tempurung kelapa sambil diperhatikan oleh orang tua dan pembesar kampung termasuk Perdana Menteri Samoa, Afioga Fiame Naomi Mata’afa, dan Setiausaha Luar United Kingdom, David Lammy. Raja Charles mengenakan sut jaket gaya Tentera Laut Diraja yang dibuat oleh Anderson & Shepperd, yang menampilkan kemasan fabrik oleh Sekolah Seni Samoa.
Jaket itu menyerupai elei, iaitu baju kasual berlengan pendek yang sering dipakai oleh lelaki Samoa. Malah, penampilan Baginda turut diikuti oleh pegawai perlindungan dan beberapa pembantunya yang mengenakan baju berwarna-warni. – Bernama