Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Resipi mentua dorong usahawan wanita raih pendapatan enam angka

    KUCHING – Bermula dengan mengedar sampel secara percuma dan hanya menjual pek mini di kantin sekolah, Nurul Arfiqah Ali tidak menyangka produk kudapan pedas berasaskan emping jagungnya mendapat permintaan tinggi menjelang musim perayaan.

    Usahawan wanita berusia 33 tahun yang memulakan perniagaan sejak 2015 itu berkata produk hasil resipi ibu mentuanya itu laris terjual hampir 10,000 balang dengan nilai jualan mencecah RM200,000 pada bulan perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Hari Gawai dan Hari Krismas.

    “Kalau bukan musim perayaan boleh cecah 6,000 balang sebulan. Sekiranya permintaan pelanggan meningkat macam Hari Raya, Gawai dan dapat tempahan untuk majlis, kita akan ada lebih banyak pekerja untuk siapkan pesanan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya baru-baru ini.

    Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata disebabkan permintaan tinggi terhadap produk kudapannya itu, Nurul Arfiqah mengupah kaum wanita di kampungnya seperti ibu tunggal, suri rumah serta pelajar sekolah bagi membantunya menyiapkan pesanan, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada mereka.

    “Memang saya ambil wanita dari Kampung Senari untuk menolong saya dari proses memasak sehingga pembungkusan, melibatkan syif siang iaitu dari 8 pagi hingga 5 petang.

    Nurul Arfiqah menunjukkan produk kudapan pedas berasaskan emping jagung ketika ditemui Bernama. – Bernama
    Nurul Arfiqah memasukkan kudapan pedas berasaskan emping jagung ke dalam balang ketika ditemui Bernama. – Bernama

    Sekiranya banyak pesanan masuk, kita ada syif malam juga iaitu 7:30 malam hingga 2 pagi,” katanya.

    Lazimnya kudapan emping jagung di pasaran berperisa madu atau telur masin namun produk Nurul Arfiqah yang dinamakan CrunchyNut Cornflakes itu mengetengahkan gabungan rasa pedas, manis dan masin dengan mengadun-kan bahan utama itu bersama sambal, kacang dan ‘pusuk’ atau ikan bilis.

    Nurul Arfiqah berkata setelah empat tahun berkecimpung dalam perniagaan, dia bercadang meluaskan pasaran produknya dan menggunakan sistem ejen susulan menerima maklum balas positif daripada pelanggannya.

    “Kita mula dengan pencarian 10 ejen terdiri daripada rakan dan saudara terdekat… Alhamdulillah, sekarang kita ada hampir 200 ejen di seluruh Malaysia dan Brunei,” katanya yang telah aktif memasarkan produknya di platform media sosial Instagram dan Facebook sejak 2017.

    Benar bagai dikata, pandemik COVID-19 yang melanda negara pada 2020 membawa rahmat kepada golongan usahawan seperti Nurul Arfiqah yang tidak menang tangan menyiapkan tempahan diterima secara dalam talian menerusi ejen ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda