Sunday, May 5, 2024
29.6 C
Brunei

    -

    Rusia mara, ancam ibu negara Ukraine

    KYIV, UKRAINE, 25 FEB – Rusia meneruskan pencerobohan terhadap Ukraine sehingga ke pinggir ibu negara hari ini selepas melancarkan serangan udara ke atas bandar dan pangkalan tentera serta mengerahkan tentera dengan kereta kebal dari tiga sudut dalam serangan yang boleh melakar semula sejarah keselamatan global pasca Perang Dingin.

    Letupan kedengaran sebelum subuh di Kyiv dan tembakan dilaporkan di beberapa kawasan, ketika para pemimpin barat menjadualkan mesyuarat tergempar dan presiden Ukraine merayu bantuan antarabangsa untuk menangkis serangan yang boleh menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik, mengakibatkan korban yang banyak dan menjejaskan ekonomi global.

    Di samping itu, antara tanda bahawa ibu negara Ukraine semakin terancam, tentera berkata hari ini bahawa sekumpulan pengintip dan pensabotaj dari Rusia dilihat di sebuah daerah di pinggir Kyiv, dan polis memberitahu orang ramai supaya tidak keluar dari stesen kereta api bawah tanah di pusat bandar tersebut kerana berlakunya tembakan di kawasan itu.

    Di tempat lain di ibu negara, askar membentuk kedudukan pertahanan di jambatan dan kenderaan berperisai bergerak di jalan raya, manakala ramai penduduk merasa gelisah berdiri di luar bangunan pangsapuri mereka.

    Setiausaha AS, Anthony Blinken berkata Kyiv berkemungkinan berada di bawah pengepungan dalam apa yang pegawai AS percaya sebagai percubaan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk melaksanakan rejimnya sendiri.

    Serangan tersebut, yang dijangkakan berlangsung selama berminggu-minggu oleh sekutu AS dan Barat, merupakan perang darat terbesar di Eropah sejak Perang Dunia kedua.

    Selepas berulang kali menafikan rancangan untuk menyerang, Putin yang autokratik melancarkan serangannya ke atas negara itu, yang semakin condong ke arah Barat yang demokratik dan jauh daripada pengaruh Moscow. – AP

    Tentera Ukraine dengan kereta berperisai mereka melalui jalan raya di wilayah Donetsk, timur Ukraine. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...