CAPE CANAVERAL, FLORIDA, 16 JULAI – Saintis mengesahkan sebuah gua di bulan, tidak jauh dari tempat Neil Armstrong dan Buzz Aldrin mendarat 55 tahun lalu, dan mengesyaki terdapat ratusan lagi yang boleh menempatkan angkasawan masa depan.
Pasukan yang diketuai Itali itu kelmarin melaporkan bahawa terdapat bukti untuk sebuah gua yang besar boleh diakses dari lubang paling dalam yang diketahui di bulan. Ia terletak di Sea of Tranquility, hanya 400 kilometer dari tapak pendaratan Apollo 11.
Lubang itu, seperti lebih daripada 200 yang lain ditemui di sana, terbentuk oleh keruntuhan tiub lava.
Para penyelidik menganalisis ukuran radar oleh Lunar Reconnaissance Orbiter, NASA, dan membandingkan hasilnya dengan tiub lava di Bumi. Penemuan mereka diterbitkan dalam jurnal Nature Astronomy.
Data radar itu mendedahkan hanya bahagian awal rongga bawah tanah berkenaan, menurut saintis-saintis. Mereka menganggarkan ia sekurang-kurangnya 40 meter lebar dan berpuluh-puluh meter panjang, mungkin lebih.
“Gua lunar kekal sebagai misteri selama lebih 50 tahun. Jadi sangat mengujakan apabila akhirnya dapat membuktikan kewujudan” salah satu, Leonardo Carrer dan Lorenzo Bruzzone dari University of Trento, menulis dalam e-mel.
Kebanyakan lubang itu nampaknya terletak di dataran lava purba bulan, menurut saintis.
Terdapat juga beberapa di kutub selatan bulan, lokasi yang dirancang untuk pendaratan angkasawan NASA lewat dekad ini. Kawah-kawah berbayang kekal di situ dipercayai menyimpan air beku yang boleh membekal-kan air minuman dan bahan api roket.
Semasa program Apollo NASA, 12 orang angkasawan mendarat di bulan, bermula dengan Armstrong dan Aldrin pada 20 Julai 1969. – AP