Pelakon Malaysia Sharifah Sakinah mengambil keputusan untuk berehat daripada menggunakan media sosial sehingga 26 November ini.
Pendirian tersebut dipercayai dibuat kerana kecewa serta sedih melihat isu-isu kemanusiaan yang hangat diperkatakan terutama berkaitan perang di bumi Gaza.
“Saya akan berdiam untuk beberapa hari. Saya mahu hindari daripada sebarang berita atau media.
“Apa yang berlaku terhadap dunia sekarang ini sangat mengecewakan,” katanya menurut laporan mStar.
Sakinah atau Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu bakar Al-Khaired, 34, memaklumkan mengenai perkara itu menerusi satu hantaran di Instagram kelmarin.
Kata Sakinah, dia bertindak sedemikian kerana mahu mengutamakan perasaan serta melindungi emosi sendiri.
Dalam perkongsian sama, dia turut menyatakan sokongan terhadap mangsa terjejas akibat peperangan.
“Saya mahu utamakan untuk melindungi perasaan dan berdoa kepada semua yang terkesan akibat perang serta sikap tamak manusia,” ujarnya.
Sakinah juga memaklumkan sebarang perkongsian berkaitan kerja dalam tempoh rehat ini diuruskan oleh pengendali laman sosialnya.
Sementara itu, adik kepada pelakon Sharifah Shahirah ini menegaskan dia tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana jenama yang menyokong peperangan serta pemanasan global.
“Tidak ada produk pemutih atau kurus, sebarang jenama yang menyokong perang atau pemanasan global.
“Sebarang perkongsian jenama akan dikendalikan oleh admin,” jelasnya. – Agensi