Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan Hari buku Sedunia hargai sastera

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 16 OGOS – Pelajar-pelajar dan pengajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah, Seria, mendapat penghargaan dan minat baharu terhadap sastera ketika sambutan Hari Buku Sedunia dipenuhi dengan permainan dan aktiviti yang menyeronokkan.

    Majlis yang diadakan kelmarin di dewan serbaguna kampus bertujuan untuk menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar dan tenaga pengajar kampus bagi menyokong inisiatif Hari Buku Sedunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pendidikan Teknikal, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli, diiringi oleh penceramah terkenal Dr Haji Mohammad Rozan bin Dato Paduka Haji Mohammad Yunos, di mana kedua-duanya dialu-alukan oleh ketua pustakawan kampus, Dayang Roziah binti Haji Ali, yang seterusnya menyampaikan ucapan perasmian.

    Dalam ucapannya, Dayang Roziah menjelaskan asal usul sambutan yang bermula pada 23 April 1995 dan telah disambut setiap tahun sejak itu.

    “Hari Buku Sedunia bertujuan untuk menghormati buku dan penulis di seluruh dunia yang menyediakan akses kepada pengetahuan melalui buku yang ditulis, membolehkan pembaca memperolehi maklumat berharga mengenai banyak subjek,” jelas Dayang Roziah.

    Dengan tema tahun ini iaitu Read Your Way, beliau berharap pelbagai pilihan yang ada pada mereka semasa sambutan yang diadakan di kampus itu dapat membuka minda pelajar dalam menerokai genre dan minat baharu melalui pembacaan.

    Terdapat juga petak-petak disediakan oleh jabatan, agensi dan perniagaan jemputan yang mempamerkan pelbagai genre buku ditulis oleh pengarang tempatan dan antarabangsa.

    Di samping itu, Dr Haji Mohammad Rozan turut menyampaikan ceramah bertajuk Swipe Right on the Book: Match with your next read di mana beliau memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada pelajar dalam pembacaan mereka.

    Dayang Roziah semasa menyampaikan ucapan perasmian pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    ATAS & BAWAH: Para pelajar dan pengajar IBTE Kampus Sultan Bolkiah mengunjungi petak pameran semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda