Thursday, January 30, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan TBC di Borneo sederhana namun meriah

    KUALA LUMPUR, 29 JAN – Masyarakat Cina di Sarawak dan Sabah merayakan tahun baharu hari ini dalam suasana penuh keceriaan dan kegembiraan walaupun secara sederhana, seiring dengan ‘aura’ Tahun Ular yang mengikut kepercayaan masyarakat itu membawa kegembiraan, tenaga positif dan kemakmuran yang melimpah.

    Kedatangan Tahun Baharu Cina (TBC) itu disambut penganut Buddha dengan berkunjung ke tokong-tokong bagi upacara keagamaan selain memohon hajat sebelum menziarahi ahli keluarga yang lain.

    Kemeriahan perayaan itu bukan sahaja dirasai oleh masyarakat Cina, tetapi turut diraikan oleh penduduk di Sarawak dan Sabah yang berbilang bangsa dan etnik dengan aktiviti berkunjung ke rumah rakan dan saudara serta menghadiri majlis rumah terbuka.

    Di Sarawak, majlis Rumah Terbuka TBC peringkat negeri berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) meriah dengan kehadiaran orang ramai, mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

    Majlis yang dianjurkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian itu dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Sanusi diiringi oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

    Acara berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian singa dan persembahan muzik tradisional yang menggambarkan keunikan warisan masyarakat Cina di negeri itu.

    Sementara itu di Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam perutusan TBC berkata kepelbagaian bangsa dan agama tidak memisahkan hubungan, malah membantu membina sebuah masyarakat yang harmoni di negeri berkenaan. – Bernama

    Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tiga, kiri) menerima cenderahati pada Majlis Rumah Terbuka TBC 2025 Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda