Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    SASHHB raikan pelajar cemerlang

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Para pelajar Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB)telah diraikan pada Majlis Pelajar Cemerlang Tahun 1445 Hijrah/2023 Masihi berlangsung di Dewan Serbaguna SASHHB, hari ini.

    Para pelajar berkenaan terdiri daripada 50 pelajar cemerlang dalam Penilalan Sekolah Rendah (PSR); 75 pelajar cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB); dan 23 pelajar lagi bagi Peperiksaan BC GCE Peringkat O. Majlis juga menyaksikan seramai 225 orang pelajar Tahun 11 menerima hadiah pelajar terbaik dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2023.

    Turut diraikan, para pelajar yang mencapai kejayaan dalam bidang kokurikulum dan Pertandingan Tazkirah Cilik Sekolah-sekolah Rendah Senegara, Johan Pertandingan Menambang Syair bagi Peringkat Menengah Senegara, dan Johan Pertandingan Pantang Larang Orang Tua-tua anjuran Jabatan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil serta hadiah, Pemangku Penolong Pengarah (Profesional), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Ayop bin Haji Abdul Ghani.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan, Pengetua SASHHB, Haji Norhisyam bin Haji Mohd Noor, selaku pengerusi majlis.

    Pelajar Mithali bergambar ramai bersama hadiah masing-masing. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Dalam ucapannya, beliau menyatakan majlis berkenaan merupakan acara tahunan yang dilaksanakan oleh SASHHB yang bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kejayaan terhadap pencapaian pelajar cemerlang dalam akademik. Ini akan memberikan motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha bagi mencapai kejayaan yang lebih tinggi di masa
    hadapan.

    Dengan adanya majlis seumpama itu juga akan dapat mendorong motivasi pelajar lain agar mereka terinspirasi untuk belajar dengan lebih tekun apabila melihat rakan-rakan mereka menerima anugerah seterusnya akan mendorong mereka untuk berusaha lebih keras dalam mencapai kecemerlangan.

    Majlis itu juga secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa. Dengan Kehadiran ibu bapa pada majlis berkenaan menunjukkan sokongan mereka terhadap pendidikan anak-anak dan terhadap aktiviti yang dijalankan di sekolah itu.

    Majlis kemudiannya diserikan lagi dengan persembahan Kalam Jamaie dan syair oleh pelajar-pelajar sekolah berkenaan. Acara kemuncak ialah Majlis Penyampaian Hadiah Khas Pelajar Mithali yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum sekolah bagi tahun 2023.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda