Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seniman Zimbabwe cipta karya melalui ukiran batu

    HARARE – Washington Musonza, seorang pengukir batu, telah mencipta nama dalam tradisi ukiran batu yang terkenal di Zimbabwe. Artis berusia 58 tahun itu menghasilkan karya dinamik yang terdiri daripada abstrak hingga kiasan, dengan mendapatkan inspirasi daripada pengalaman seharian.

    Bagi Musonza, seni adalah medium ekspresi yang melangkaui bahasa manusia. “Seni adalah bahasa yang senyap,” kata Musonza kepada Xinhua. “Dengan seni, awda boleh berkomunikasi dengan sesiapa sahaja, seni tidak me-ngenal sempadan.”

    Mencipta sebuah karya seni melibatkan pemilihan batu yang sempurna, diikuti dengan mengukirnya. Bentuk yang diukirnya ditentukan oleh bentuk dan ukuran batu tersebut.

    “Saya suka bercakap, tetapi saya tahu saya tidak dapat meluahkan perasaan saya sepenuhnya melalui kata-kata. Jadi saya melakukannya melalui batu. Mereka memberitahu saya apa yang perlu dilakukan, saya memahami bahasa seni,” katanya.

    “Apabila saya mengukir sebuah karya, saya biarkan kepada orang yang datang untuk melihatnya. Mereka boleh bercakap dan bertanya soalan kepada seni dan mendapat jawapan sementara saya tiada,” tambah Musonza.

    Sebuah arca batu dipamerkan di sebuah galeri di Harare, Zimbabwe pada 21 Mei. – Xinhua
    Washington Musonza di galerinya di Harare, Zimbabwe. – Xinhua
    Dua pemahat bekerja pada arca batu di Harare, Zimbabwe. – Xinhua

    Tradisi ukiran batu di Zimbabwe mendapat inspirasi daripada warisan budaya negara, sejak dari Great Zimbabwe, sebuah bandar zaman pertengahan yang terkenal dengan karya batu yang mengagumkan, dari mana negara itu memperoleh namanya. Walaupun pengukir moden menggunakan alat elektrik seperti pengisar, sebahagian besar kerja dilakukan di negara Afrika selatan dengan alat mudah seperti tukul dan pahat.

    Ukiran-ukiran itu, kebanyakannya diperbuat daripada batu serpentin, menggambarkan senario kehidupan seharian seperti wanita memeluk anak-anak atau kanak-kanak bermain, antara subjek lain. Sesetengah ukiran menggambarkan watak mistik. Ukiran batu itu telah menjadi terkenal di seluruh dunia dan sangat diminati oleh pengumpul. Di seluruh negara, mereka memukau peminat di pelbagai ruang awam dan taman peribadi.

    Sepanjang kerjayanya sebagai seorang artis, Musonza telah menerima beberapa penghargaan dan telah mempamerkan karya-karyanya di banyak simposium seni antarabangsa, termasuk tiga di China. Beliau berharap dapat menyebarkan seni batu Zimbabwe ke seluruh dunia agar lebih banyak orang dapat menghargai tradisi negaranya.

    Selama bertahun-tahun, Musonza dan artis lainnya, termasuk Bernard Mutonhodza yang berusia 51 tahun, telah berusaha untuk mengekalkan tradisi ukiran batu Zimbabwe agar terus berkembang. “Oleh kerana saya telah mewarisi budaya ini daripada nenek moyang saya, ia tidak boleh berhenti dengan saya. Saya mesti menyampaikannya kepada orang lain supaya mereka juga boleh mewariskannya kepada generasi akan datang,” kata Musonza.

    Setelah menguasai kemahiran mengukir batu dengan belajar daripada orang tua mereka, Mutonhodza kini memberikan inspirasi kepada artis muda yang lain. “Peranan saya dalam seni adalah untuk memastikan budaya kita berterusan dan generasi baharu mewarisi pengetahuan ini,” kata Mutonhodza kepada Xinhua.

    Untuk mengekalkan tradisi ukiran batu terus berkembang, Mutonhodza juga sedang menyampaikan pengetahuannya kepada Abraham Karuru, 27 tahun. “Cita-cita saya adalah untuk memajukan tradisi ukiran batu ini supaya orang ramai dapat mengetahui pertukangan ini,” kata Karuru.

    Bagi Musonza, tiada apa yang lebih menggembirakan daripada menyaksikan tradisi ukiran batu terus dikekalkan. “Saya berasa sangat bangga. Ia menunjukkan saya seorang guru yang baik kerana jika saya tidak mengajar orang, bermakna budaya kita akan mati. Saya bangga meskipun saya pergi hari ini, mereka masih boleh mengibarkan bendera seni Zimbabwe,” katanya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda