Tuesday, September 17, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sepanyol mudah tewaskan Switzerland

    GENEVA, 9 SEPT – Sepanyol meraih kemenangan pertama mereka sejak menjulang kejuaraan Euro 2024 apabila menumbangkan Switzerland 4-1 pada aksi Liga Negara-Negara UEFA di Geneva awal pagi tadi, sekalipun beraksi dengan 10 pemain.

    Joselu menanduk masuk gol pembukaan pada minit keempat dan Fabian Ruiz meledak gol kedua Sepanyol pada minit ke-13, sebelum pemain pertahanan Robin Le Normand dibuang padang tujuh minit kemudian kerana terjahan keras ke atas Breel Embolo di luar kotak penalti.

    Zeki Amdouni menjaringkan satu gol untuk memberi harapan buat tuan rumah pada minit ke-41.

    Bagaimanapun, pemain tengah Paris Saint-Germain, Ruiz meledak sekali lagi pada minit ke-77 sebelum pemain gantian Ferran Torres memberikan gol keempat yang memusnahkan impian tuan rumah tiga minit kemudian.

    “Pasukan ini berjaya memenangi satu perlawanan bersejarah,” kata pengurus Sepanyol, Luis de la Fuente selepas perlawanan.

    “Saya amat bangga dengan pemain saya. Pemain bangga untuk mewakili negara kami. Mereka pemain muda dengan banyak kualiti, dengan banyak nilai dan ia membantu kami untuk meningkat dan berkembang.

    “Saya amat gembira dengan semua pemain, terutama Joselu. Saya amat menyukainya.

    “Dia adalah pemain yang sangat saya hargai. Dia sentiasa bekerja keras untuk membantu pasukan meningkat. Dia mempunyai perlawanan yang hebat dan dia melakukan apa yang kami minta dengan 11 pemain dan dengan 10.”

    Bekas penyerang Newcastle dan Alaves, Joselu, yang kini beraksi bersama Al-Gharafa di Qatar, kagum dengan cara Sepanyol mengendalikan perlawanan itu. – AFP

    Pemain Sepanyol meraikan kemenangan mereka pada penghujung perlawanan bola sepak UEFA antara Switzerland dan Sepanyol di stadium Geneva. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda