Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan udara AS, UK ragut 16 nyawa

    YEMEN, 31 MEI – Amerika Syarikat (AS) dan Britain melancarkan serangan udara ke atas Yaman dalam apa yang dikatakan mereka sebagai usaha untuk menjejaskan keupayaan serangan maritim pemberontak yang disokong Iran, dengan media Houthi melaporkan 16 terbunuh hari ini.

    Houthi telah menyerang kawasan perkapalan di sekitar Laut Merah dan Teluk Aden sejak November, memetik solidariti dengan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, yang telah diserang oleh Israel sejak kumpulan pejuang Hamas melancarkan serangan di Israel pada 7 Oktober.

    Wartawan AFP mendengar letupan kuat di ibu negara Sanaa dan bandar pelabuhan Hodeida semalaman dari Khamis hingga hari ini.

    Serangan juga menyasarkan infrastruktur telekomunikasi di bandar Taez, lapor televisyen Al-Masirah yang dikawal Houthi.

    Memetik pihak berkuasa kesihatan, stesen TV itu berkata 16 orang terbunuh dan lebih 35 lagi cedera di Hodeida sahaja, tanpa menyatakan sama ada mereka orang awam atau pejuang.

    Jumlah korban yang dilaporkan oleh Al-Masirah akan menjadikan serangan itu antara yang paling teruk sejak AS dan Britain melancarkan kempen pada Januari untuk mengatasi serangan Houthi di pantai Yaman.

    Saluran itu menyiarkan video yang dikatakan menggambarkan lelaki berlumuran darah yang cedera dalam serangan di bangunan radio Hodeida.

    Rakaman itu juga menunjukkan mangsa lain menerima rawatan di hospital, walaupun AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas kesahihan imej atau angka kematian.

    Seorang pekerja hospital di Hodeida berkata ramai pejuang adalah antara yang terbunuh dan cedera tetapi dia tidak dapat menyatakan angka yang tepat. – AFP

    Penyokong Houthi berarak sempena ulang tahun perpaduan Yaman di Sanaa, Yaman pada 22 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda