Tuesday, September 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singa Menteri A juara pertandingan sepak takraw

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 10 SEPT – Pasukan Singa Menteri A menjuarai Pertandingan Sepak Takraw bagi Mukim Daerah Belait setelah mencatatkan dua kemenangan berturut-turut dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Mumong pada 8 September lalu.

    Pertandingan itu dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Belait (JBS KB) dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Daerah Belait bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78.

    Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyampaikan hadiah dan pingat kepada para pemenang di akhir kejohanan ialah Pemangku Ketua JBS KB, Awang Gaung Jamit.

    Sebanyak 17 pasukan dari seluruh Daerah Belait telah mendaftar untuk bertanding pada kejohanan tersebut yang diadakan bermula 1 September lalu dalam format penyingkiran dua kali.

    Perjalanan yang ditempuh oleh Pasukan Singa Menteri A menuju kejuaraan bukanlah mudah, setelah mereka jatuh ke kelompok bawah oleh Pasukan Singa Menteri C. Walau bagaimanapun, Pasukan Singa Menteri A berjaya mara melalui kelompok bawah dengan kemenangan penting ke atas Mukim Bukit Sawat C dalam perlawanan tempat ketiga, sekali gus memberi peluang untuk bertanding semula di peringkat akhir.

    Dalam perlawanan akhir best-of-three menentang Pasukan Singa Menteri C, Singa Menteri A menamatkan set pertama dengan kemenangan 15-10 dan melengkapkan kejayaan mereka dengan kemenangan 15-7 dalam set kedua, menjadikan mereka juara keseluruhan.

    Pasukan Singa Menteri A bergambar bersama pingat yang dimenangi. – GAMBAR SERAHAN JBS KB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda