Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sinner, Alcaraz kukuhkan status baharu Grand Slam

    NEW YORK, 9 SEPT – Jannik Sinner dan Carlos Alcaraz membahagikan keempat-empat Grand Slam pada tahun 2024, sekali gus mengesahkan status mereka sebagai bintang paling bersinar dalam generasi baharu tenis.

    Sinner, kelmarin, menambah kejuaraan Terbuka AS kepada kemenangan Terbuka Australia yang dimenanginya pada Januari lalu. Dia menewaskan Taylor Fritz dalam perlawanan akhir, menjadi pemain pertama sejak Guillermo Vilas pada tahun 1977 memenangi dua gelaran Grand Slam pertama dalam satu musim yang sama.

    Pencapaian itu tidak pernah di kecapi oleh Roger Federer, Novak Djokovic, Rafael Nadal, mahupun Pete Sampras dan Andre Agassi.

    Alcaraz, yang dua tahun lebih muda dari Sinner, merangkul gelaran Terbuka Perancis dan mempertahankan gelaran Wimbledon pada 2024, menjadikan jumlah gelaran Grand Slam yang dimilikinya kini kepada empat.

    Aksi Jannik Sinner dengan trofi kemenangan selepas menewaskan Taylor Fritz dalam perlawanan akhir Terbuka AS di New York. – AFP

    “Era baharu ini agak berbeza, sudah pasti,” kata Sinner ketika diminta mengulas mengenai era baharu dalam dunia tenis. “Seronok melihat juara-juara baharu. Seronok juga melihat persaingan baharu.”

    Sinner yang berusia 23 tahun dan berasal dari Itali, telah meraih enam gelaran tahun ini, manakala Alcaraz memenangi tiga. Kedua-dua pemain itu telah mengumpulkan 15 gelaran masing-masing sepanjang kerjaya mereka.

    Alcaraz terus mencipta sejarah lebih pantas berbanding ‘Big Three’ – Federer, Nadal dan Djokovic – meskipun mengalami kekalahan mengejut pada pusingan kedua Terbuka AS. Ketiga-tiga legenda itu tidak berjaya memenangi empat gelaran utama sebelum usia 22 tahun.

    Djokovic memenangi gelaran keempatnya pada Terbuka AS 2011 ketika berusia 24 tahun. Nadal pula berusia 22 tahun ketika memenangi gelaran keempatnya pada Terbuka Perancis 2008, manakala Federer mengumpulkan gelaran keempatnya pada Terbuka AS 2004 pada usia 23 tahun.

    Sekiranya Alcaraz memenangi Terbuka Australia Januari tahun depan, dia bakal menjadi juara karier Grand Slam pada usia 21 tahun.

    Djokovic kini terhenti di 24 gelaran Grand Slam, rekod untuk pemain lelaki tetapi masih sebaris dengan Margaret Court untuk jumlah keseluruhan sepanjang zaman.

    Tahun 2024 menandakan kali pertama sejak 2017 Djokovic menamatkan musim tanpa gelaran Grand Slam. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda