Tuesday, September 17, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sinner, Alcaraz raja tenis generasi baharu

    NEW YORK, 9 SEPT – Jannik Sinner dan Carlos Alcaraz membahagikan keempat-empat Grand Slam antara mereka pada 2024, sekali gus mengesahkan status mereka sebagai bintang paling bersinar dalam generasi baharu tenis.

    Sinner, kelmarin menambah kejuaraan Terbuka AS kepada kemenangan Terbuka Australia yang dimenanginya pada Januari lalu. Dia menewaskan Taylor Fritz dalam saingan akhir, menjadi pemain pertama sejak Guillermo Vilas pada tahun 1977 memenangi dua gelaran Grand Slam pertama dalam satu musim yang sama.

    Pencapaian itu tidak pernah dikecapi oleh Roger Federer, Novak Djokovic, Rafael Nadal, mahupun Pete Sampras dan Andre Agassi.

    Alcaraz, yang dua tahun lebih muda daripada Sinner, merangkul gelaran Terbuka Perancis dan mempertahankan gelaran Wimbledon pada 2024, dan telahpun memiliki empat gelaran Grand Slam dalam koleksinya.

    “Era baharu ini agak berbeza, sudah pasti,” kata Sinner ketika diminta mengulas mengenai era baharu dalam dunia tenis. “Seronok melihat juara-juara baharu. Seronok juga melihat persaingan baharu.”

    Aksi Jannik Sinner dengan trofi kemenangan selepas menewaskan Taylor Fritz dalam perlawanan akhir Terbuka AS di New York. – AFP

    Sinner yang berusia 23 tahun dan berasal dari Itali, telah membolot enam gelaran tahun ini, manakala Alcaraz memenangi tiga. Kedua-dua pemain itu berjaya mengumpul 15 gelaran masing-masing sepanjang kerjaya mereka.

    Alcaraz mencipta sejarah Grand Slam lebih pantas berbanding Big Three terdiri daripada Federer, Nadal dan Djokovic meskipun mengalami kekalahan mengejut pada pusingan kedua Terbuka AS. Ketiga-tiga legenda itu gagal memenangi empat gelaran utama sebelum usia 22 tahun.

    Djokovic memenangi gelaran keempatnya pada Terbuka AS 2011 ketika berusia 24 tahun.

    Nadal pula berusia 22 tahun ketika meraih gelaran keempatnya pada Terbuka Perancis 2008, manakala Federer mengumpulkan gelaran keempatnya pada Terbuka AS 2004 pada usia 23 tahun.

    Sekiranya Alcaraz memenangi Terbuka Australia Januari tahun depan, dia bakal menjadi juara karier Grand Slam pada usia 21 tahun.

    Djokovic masih kekal pada 24 gelaran Grand Slam, rekod untuk pemain lelaki tetapi masih sama dengan Margaret Court untuk jumlah keseluruhan sepanjang zaman.

    Tahun 2024 menandakan kali pertama sejak 2017 Djokovic menamatkan musim tanpa gelaran Grand Slam. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda