Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sophia Albarakbah ambil tindakan atas komen negatif

    Pelakon Sophia Albarakbah tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang meninggalkan komen berbaur lucah dan hinaan kepadanya menerusi media sosial.

    Menerima mesej keterlaluan daripada individu tidak dikenali, Sophia, 31, berkata dia sudah mengumpul bukti kiriman yang diterima dan bakal mengambil tindakan selanjutnya.

    “Saya banyak terima ‘direct message’ (DM) yang tidak senonoh. Saya tidak tahu bagi mereka adakah ini perkara lawak dengan menghantar DM tidak senonoh seperti itu. Saya sedang menyimpan bukti, semua DM atau komen yang teruk seperti makian dan perkara tidak senonoh semua saya buat tangkap layar untuk dijadikan bahan bukti supaya dapat mengambil tindakan selanjutnya,” katanya kepada mStar.

    Sophia berkongsi perkara itu ketika ditemui di tayangan perdana filem Harimau Malaya: The Untold Journey yang diadakan di GSC The Starling, Petaling Jaya, Selangor pada malam kelmarin.

    Dalam pada itu, Sophia turut memberitahu dia menerima pelbagai mesej berbaur kebencian tanpa punca yang diketahui.

    ” Ada dua perkara saya terima, iaitu mesej tidak senonoh terutama daripada lelaki. Satu lagi adalah mesej memaki hamun tanpa sebab spesifik. Saya tak tahu motif mereka. Boleh dikatakan kira-kira 50 peratus DM saya dipenuhi dengan mesej lucah, tapi saya tidak terus sekat sebab mahu kumpul bukti,” ujarnya.

    Pelakon drama From Saga With Love itu mengakui pada mulanya dia berasa agak tertekan dengan komen dan mesej yang diterima, namun mengambil langkah untuk tidak membaca tulisan negatif itu.

    “Pada awal sudah tentu saya terkesan dengan perkara ini. Tapi, saya tetap perlu bekerja dan hidup seperti biasa. Jadi, saya cuba untuk tidak terlalu baca semua komen atau mesej sebegitu. Saya cuba tapis perkara yang tidak baik seperti itu,” katanya. – Agensi

    Sophia tidak lagi mahu berdiam diri. – mStar

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda